JDT 3 TERENGGANU 0
(JDT ke final dengan kelebihan agregat 4-1)

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kelebihan tiga gol untuk menewaskan Terengganu FC dengan 10 pemain, sekali gus menghampiri misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

Tiga gol dalam masa tujuh minit pada awal babak pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi sudah cukup untuk pasukan Harimau Selatan itu merakamkan kelebihan agregat 4-1 -- kedudukan terikat 1-1 di Kuala Terengganu dalam perlawanan pertama -- biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir keseluruhan perlawanan berikutan insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain veteran, Safiq Rahim.

Bergson da Silva membuka jaringan JDT seawal minit ketujuh menerusi satu rembatan jarak jauh dari luar kawasan penalti yang menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Berselang empat minit, giliran Gonzalo Cabrera menggandakan kelebihan tuan rumah selepas memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang lawan.

Bergson menemui jaringan kedua peribadinya pada minit ke-14 apabila menggunakan sepenuhnya kawalan longgar pertahanan lawan untuk menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus memberikan gambaran awal mengenai kehancuran yang akan dialami Terengganu dalam perlawanan ini.

Bagaimanapun, pasukan pelawat itu memperoleh talian hayat pada minit ke-16 apabila Safiq dilayangkan kad merah susulan tindakannya menanduk kepala Faisal Halim.

Dengan kelebihan seorang pemain, Terengganu mula melancarkan serangan bertali arus ke gawang JDT tetapi tiada satu pun daripadanya dapat menembusi kawalan penjaga gol, Farizal Marlias.

Antara peluang keemasan yang dilepaskan skuad Peteh itu adalah menerusi Jordan Mintah, yang menyepak tinggi bola di depan gawang yang sudah kosong, pada minit ke-37.

Kebuntuan jaringan Terengganu berkekalan sehingga ke wisel penamat, sekali gus membenarkan JDT untuk melangkah ke final Piala Malaysia bagi mempertahankan kejuaraan yang diraih mereka pada 2019.

Sebagai rekod, saingan Piala Malaysia edisi tahun lalu dibatalkan berikutan pandemik COVID-19 tetapi final ke-100 saingan tertua di Malaysia itu akan kembali ke Bukit Jalil pada 30 November ini.


*Kredit foto: Johor Southern Tigers