JDT 3 SABAH 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) sah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selaku juara Kumpulan D selepas menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan, pasukan Harimau Selatan itu mengumpulkan 12 mata bersih daripada empat pertemuan setakat ini dan berkelebihan tujuh mata di depan pencabar terdekat, Petaling Jaya City FC -- yang terikat 0-0 dengan Kelantan FC dalam satu lagi perlawanan.

Gol pembukaan awal Leandro Velazquez serta jaringan Bergson da Silva dalam setiap separuh masa sudah cukup untuk memastikan pasukan juara bertahan itu meraih tiga mata penuh pada ketika Sabah kelihatan sukar memberikan saingan.

Penyerang negara, Safawi Rasid, berpeluang menambah jaringan tuan rumah pada penghujung aksi tetapi sepakan ala 'panenka' yang dilakukannya tidak menjadi.

JDT mempamerkan penguasaan total sejak awal permainan dan berhasil memecahkan kebuntuan pada minit keenam apabila hantaran pendek Bergson dari dalam kotak penalti dirembat kencang Velazquez ke arah bawah palang gol Rozaimie Rohim.

Tuah jelas memihak JDT apabila dianugerahkan sepakan penalti pada 11 minit terakhir babak pertama selepas bola lintangan pertahanan kiri, Corbin Ong, terkena tangan Ummareng Bacok dalam kawasan penalti dan Bergson tidak mensia-siakan peluang itu untuk melepaskan sepakan leret ke penjuru kanan bawah gawang Rozaimie.

Penguasaan JDT berterusan dalam babak kedua dan Sabah pula kian bergelut untuk merencanakan peluang percubaan.

Skuad bimbingan Benjamin Mora itu sepatutnya menambah jaringan pada minit terakhir waktu sebenar apabila dihadiahkan sepakan penalti kedua susulan insiden bola sepakan Akhyar Rashid terkena tangan Hanafie Tokyo tetapi lambungan yang cuba dilakukan Safawi mudah diselamatkan Rozaimie.

Bagaimanapun, Bergson menebus kesilapan itu dengan menanduk masuk sepakan percuma Safiq Rahim dalam waktu kecederaan.