JOHOR DARUL TA'ZIM 5 KELANTAN FC 0
(JDT ke separuh akhir dengan agregat 8-0)

Johor Darul Ta'zim FC (JDT) melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 dengan penuh bergaya selepas membelasah Kelantan FC 5-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Berbekalkan kelebihan tiga gol daripada perlawanan pertama di Kota Bharu minggu lalu, penyerang utama JDT, Bergson da Silva, muncul pemain paling cemerlang meledakkan hatrik sambil Syahmi Safari dan Nazmi Faiz Mansor turut mencatatkan nama selaku penjaring dalam babak pertama pertemuan kali ini.

Bergson hanya memerlukan 37 minit untuk mencatatkan hatrik bermula dengan menyudahkan lorongan Nazmi Faiz pada minit ke 12, meledakkan sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-34 dan memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ketiganya berselang tiga minit.

Syahmi kemudian menghasilkan gol keempat JDT menerusi sepakan voli gemilangnya dari jarak jauh pada minit ke-40.

Nazmi Faiz memastikan Harimau Selatan ke bilik persalinan dengan cukup selesa dengan menjadikan kedudukan 5-0 dalam waktu kecederaan separuh masa pertama.

Tiada pertambahan jaringan dalam babak kedua tetapi ia sudah cukup untuk pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu ke separuh akhir dengan agregat 8-0.