Tiga pasukan pilihan daripada Liga Super menang besar dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA hari ini.

Aksi di Iskandar Puteri menyaksikan juara Liga Super lapan kali, Johor Darul Ta'zim FC (JDT),mencatatkan antara kemenangan terbesar dalam Piala FA dengan membelasah BRM FC 10-0.

Bekas penyerang Watford, Fernando Forestieri, mencipta sensasi dengan jaringan hatrik dalam babak pertama selain Afiq Fazail, Safawi Rasid, Mauricio, Moussa Sidibe, Daryl Sham, Mohamadou Sumareh dan Daniel Amier Norhisham turut mencatatkan nama selaku penjaring.

Perlawanan di Stadium Negeri Sarawak pula memperlihatkan betapa tuan rumah, Sarawak United, tidak memberi muka untuk membelasah Ultimate FC 7-0.

Selepas Boris Kok memecahkan kebuntuan seawal minit kelapan, Bujang Senang kemudian menambah enam lagi gol dalam separuh masa kedua, antaranya melalui jaringan berganda Uche Agba.

Di Cheras, Kuala Lumpur City FC, yang dilaporkan sedang terpalit dengan isu tunggakan gaji sejak Januari lalu, mengetepikan segala masalah untuk menewaskan Langkawi FC 8-0.

Fakrul Aiman Sidid menjaringkan dua gol dalam babak pertama untuk KL City berkelebihan 4-0 menjelang waktu rehat sebelum pasukan Lembah Klang itu menambah empat lagi gol dalam separuh masa kedua.

Sementara itu, P. Rajesh muncul penyelamat Petaling Jaya City FC di Stadium Petaling Jaya untuk menewaskan Kelantan FC 2-1 selepas Darren Lok memadamkan gol pembukaan Fadel Antar buat The Red Warriors.