Terengganu FC melakar kemenangan bergaya 4-2 ke atas Kelantan FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berjaya memecah kebuntuan menerusi rembatan kaki kanan kencang Azam Azmi Murad pada minit ke-17 yang gagal ditepis penjaga gol Kelantan, Nik Amin Ahmad.

Pada minit ke-41, Terengganu menggandakan jaringan menerusi Ivan Mamut sebelum Ismaheel Akinade merapatkan kedudukan selepas mengambil kesempatan atas kesilapan mudah barisan pertahanan Terengganu.

Bersambung dalam separuh masa kedua, Terengganu menambah derita pelawat dengan gol ketiga yang disempurnakan oleh Sony Norde pada minit ke-52.

Kelantan bagaimanapun cuba berusaha bangkit ke dalam perlawanan, Ismaheel sekali lagi mengurangkan defisit jaringan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, tiket separuh akhir menjadi milik Terengganu apabila Syafik Ismail menoktahkan kemenangan sekaligus menyaksikan kedudukan 4-2 sehinggat tamat perlawanan.