Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, berpuas hati finalis edisi 2022 itu merealisasikan misi menang berdepan seteru tetangga, Kelantan FC, 4-2 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Jelasnya, TFC dijangka akan memperoleh kemenangan mudah selepas menewaskan The Red Warriors (TRW) 5-0 dalam 'derby' Pantai Timur aksi Liga Super di venue sama pada bulan lalu.

"Perlawanan ini sepatutnya merupakan perlawanan yang mudah untuk Terengganu namun sebaliknya. Begitupun, tahniah kepada pemain apabila membawa pasukan ini ke peringkat seterusnya.




"Empat gol yang menarik daripada empat pemain berbeza Azam Azmi (m-17), Ivan Mamut (m-41), Soney Norde (m-53) dan Syafik Ismail (m-82).

"Saya juga berpuas hati dengan komitmen bahagian pertahanan sepanjang perlawanan biarpun dua gol dihasilkan pasukan Kelantan merupakan kesilapan.

"Sejujurnya saya tidak mahu menyatakan berpunca kesilapan individu, namun saya percaya pemain yang bertanggungjawab mengetahui perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Pengendali kelahiran Croatia itu ingin mengulangi pencapaian TFC pada musim lalu dengan membawa Sang Penyu ke pentas perlawanan akhir piala FA.

Dia yakin pemain-pemain akan bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk aksi separuh akhir kalah mati, sama ada menentang Sabah atau KL City FC.

Kredit: Sinar Harian