Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menuntut barisan pemainnya agar jangan gelojoh dalam usaha memburu jaringan awal berdepan Kedah jika mahu impian mereka ke perlawanan akhir Piala FA 2017 menjadi kenyataan.

Kegagalan mendapatkan bekalan jaringan di tempat lawan di Stadium Darulaman pada 30 April lalu membuatkan Terengganu perlu lebih berhati-hati dalam aksi kedua separuh akhir, esok.

Jika Helang Merah terlebih dahulu mendapatkan jaringan, ia boleh membunuh semangat Terengganu yang wajib mendapatkan tiga gol selepas itu jika mahu mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Justeru, Irfan menggesa barisan pemainnya usah terlalu banyak membuka ruang kepada lawan ketika ghairah menyerang.

"Sudah tidak ada jalan lain lagi, kami harus mendapatkan gol awal dan bermain secara menyerang apabila bermain di tempat sendiri.

"Kapasiti penyokong pada malam esok adalah kelebihan buat kami mendapatkan gol awal.

"Dalam masa yang sama, kami tidak boleh terburu-buru dan perlu tenang di samping perlu membendung gerakan Kedah," ujarnya.

Pemain yang mendapat jolokan Messi Terengganu, Mohd Faiz Mohd Nasir, juga melahirkan hasrat sama, iaitu memburu jaringan awal selain berharap kelemahan dalam aksi pertama dapat diperbaiki.

"Dalam aksi di Kedah tempoh hari, kami tidak banyak mengatur serangan dan bola kerap berlegar di kawasan tengah padang.

"Saya akan mempamerkan aksi terbaik malam esok selepas sering mendapat kepercayaan Irfan pada musim ini," katanya.