Bekas penyerang negara, Shahrel Fikri Fauzi, mahu menjadikan musim 2023 sebagai medan kebangkitannya bersama Negeri Sembilan FC.

Selepas hampir dua tahun namanya seakan-akan sepi kerana kecederaan serius, penyerang berusia 28 tahun itu semakin menemui sentuhan penyudahnya biarpun secara purata hanya beraksi sebanyak 34 minit daripada empat penampilannya bersama Negeri Sembilan dalam Liga Super setakat ini.

Menjelang perlawanan kedua Piala FA menentang PIB FC di Paroi malam esok, Shahrel Fikri bertekad untuk menjadikan pasukan dari Liga M3 itu sebagai titik permulaan untuk dia menjaringkan gol secara konsisten selepas menemui jaringan pertamanya ketika menewaskan Kelantan FC 4-2 awal bulan ini.

"Sebagai seorang penyerang, semua akan mengharapkan kami untuk menjaringkan gol kerana untuk apa menjadi penyerang jika tidak dapat menjaringkan gol," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.

"Bagi saya, jika pasukan memberikan 100 peratus komitmen, semua pemain akan membantu penyerang untuk menjaringkan gol.

"Selepas pulih daripada kecederaan, memang diri saya sendiri mahu membuktikan untuk kembali menjaringkan gol seperti yang setiap orang harapkan.

"Jika saya tidak dapat menjaringkan gol menentang pasukan Liga M3, sudah pasti ia akan menjadi satu kekecewaan buat diri saya sebagai sorang penyerang," katanya.