MANCHESTER UNITED 3 WEST HAM UNITED 1

Alejandro Garnacho dan Fred menjaringkan gol pada lewat permainan untuk Manchester United meneruskan kecemerlangan selepas menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) dengan bangkit menewaskan West Ham 3-1 untuk ke suku akhir Piala FA awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Erik ten Hag itu menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2017 dengan menewaskan Newcastle United dalam final Piala EFL hujung minggu lalu dan rentak kemenangan itu disusuli dengan satu lagi aksi meyakinkan di Old Trafford berselang tiga hari.

United melakukan enam pertukaran berbanding kesebelasan utama di Wembley hujung minggu lalu dan ketinggalan pada minit ke-54 gara-gara dibolosi jaringan Said Benrahma tetapi gol sendiri Nayer Aguerd menyaksikan kedudukan kembali terikat 23 minit selepas itu.

Garnacho kemudian meletakkan United di depan pada minit ke-90 sebelum Fred melengkapkan kebangkitan bergaya United dengan satu lagi gol dalam waktu kecederaan, sekali gus membawa The Red Devils ke suku akhir.

United diundi untuk menentang Fulham dalam suku akhir pada 18 Mac ini untuk meneruskan pemburuan satu lagi trofi, di mana mereka juga masih bersaing dalam Liga Europa (UEL) dan sedang menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).