Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mahu nanak buahnya memanfaatkan aksi di laman sendiri menjelang pertemuan suku akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Likas malam esok.

Bagaimanapun, bekas pengendali kebangsaan itu menggesa anak buahnya tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Gergasi Merah kendalian Michael Feichtenbeiner, yang sedang berada dalam prestasi terbaik.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, Kim Swee berkata: "Seperti yang kita tahu, Selangor mempunyai sejarah sebagai pasukan yang cukup unggul di negara kita.

"Dan kita juga tahu bahawa Selangor merupakan pasukan yang cukup baik ketika ini.

"Berdasarkan pertemuan kami dengan Selangor di Petaling Jaya dalam saingan liga, kami berdepan beberapa masalah, terutama dengan corak permainan mereka.

"Walaupun baru-baru ini mereka sekadar seri (dengan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super), mereka memiliki ramai pemain terbaik dia atas padang dan di bangku pemain simpanan yang mampu mengubah corak permainan mereka.

"Bagi saya, kami tidak boleh mengambil mudah dan perlu memperbaiki kelemahan kami, terutama dalam mengawal permainan," katanya.

Mengulas mengenai aksi di laman sendiri, Kim Swee menambah: "Kami harus mengambil kesempatan ini, bukan kelebihan tetapi mengambil kesempatan daripadanya.

"Saya percaya dengan adanya sokongan penyokong yang berada di stadium, sudah tentu ia akan memberikan kami lebih motivasi.

"Bagi saya, ia merupakan perlawanan yang amat penting tetapi bukan perlawanan yang mudah kerana Selangor juga pasti mahu membuktikan sesuatu selepas tidak dapat memberikan aksi terbaik dalam Liga Super," katanya lagi.



*Kredit foto: Sabah FC