BRIGHTON 0 MAN UTD 0
(The Red Devils mara ke perlawanan akhir melalui penentuan sepakan penalti 7-6)


Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, memuji David de Gea yang mnengetepikan pengalaman sukar ketika berdepan Sevilla apabila muncul wira dalam kemenangan separuh akhir Piala FA ke atas Brighton & Hove Albion, tengah malam tadi.


De Gea dipersalahkan atas ketiga-tiga jaringan Sevilla ketika mereka disingkirkan 0-3 Jumaat lalu untuk terkandas dalam suku akhir Liga Europa UEFA (UEL).

Bagaimanapun, tiga hari kemudian dia menyelamatkan beberapa berbahaya Brighton sebelum membuktikan kewibawaannya dalam penentuan sepakan penalti.

Walaupun De Gea tidak menangkis mana-mana sepakan dari jarak 12 ela itu, tetapi prestasi menyeluruhnya membayangi kemaraan United ke perlawanan akhir Piala FA apabila mengesahkan kemenangan 7-6 yang menyaksikan tendangan Solly March menjulang tinggi sebelum Victor Lindelof memuktamadkan kejayaan mereka, secara tidak langsung menempah tiket final bertemu jiran tetangga, Manchester City.

Prestasi United secara keseluruhannya mungkin tidak begitu memuaskan tetapi peningkatan prestasi yang ditonjolkan adalah ketara termasuk De Gea.

"Saya fikir dia cemerlang mematahkan dua percubaan dan dia juga sedar bahawa dia seorang penjaga gol bertaraf dunia," katanya Ten Hag.



"Khamis (awal pagi Jumaat) lalu, dia mengalami hari yang sangat teruk di pejabat dan ia menyakitkan.

“Ia satu hari yang cukup buruk buatnya yang pernah saya saksikan tetapi selalunya apabila anda adalah seorang penjaga gol dan anda melakukan kesilapan, anda cenderung dihukum.




"Tetapi ia tidak bermakna kami terus dilanda kekecewaan. Sebagai sebuah pasukan, kami telah mengecewakannya (ketika menentang Sevilla) dan kami tidak melawan.

“(Kritikan) terdahulu adalah wajar tetapi hari ini, pemain layak menerima pujian atas kebangkitan yang ditonjolkan buat sekian kalinya, mereka mempamerkan karakter.

“Apa yang kami perlu pelajari dan perbaiki yang harus menjadi langkah kami seterusnya ialah andai permainan kami goyah, kami perlu terus berjuang supaya kami bertenang dan melawan.

"Kami perlu menelan kekecewaan dan kami boleh melakukannya dengan lebih baik tetapi di antara perlawanan, dan ia bukan kali pertama ia berlaku, kami mampu melakukannya dengan sangat baik."