LUTON 2 CHELSEA 3

Thomas Tuchel berkata dia tidak dapat memastikan apa kesannya mengenai pengumuman Roman Abramovich yang sedia menjual Chelsea.


Sebelum mengatasi Luton Town 3-2 dalam Piala FA, awal pagi tadi, pemilik The Blues itu mengesahkan dia mahu menjual kepentingannya bersama juara Eropah yang berpangkalan di London berkenaan selepas 19 tahun sambil berkata langkah tersebut demi kepentingan terbaik kelab.

Hartawan Russia itu turut menyatakan bahawa dia tidak akan meminta sesen pun pinjaman yang diberikannya agar dibayar balik selain mengarahkan kelab tersebut supaya menubuhkan yayasan amal --- di mana keuntungan bersih daripada penjualan berkenaan akan didermakan.

Abramovich mendedahkan yayasan itu akan digunakan untuk dimanfaatkan oleh semua mangsa perang di Ukraine yang diserang negaranya, Russia, sejak Khamis lalu.

Namun, ia hampir menggugat kemaraan pasukan bimbingan Tuchel itu di Kenilworth Road yang menyaksikan jaringan Reece Burke dan Harry Cornick memadam kelebihan awal Chelsea yang disumbangkan Saul Niguez.

Bagaimanapun, ledakan Timo Werner dalam separuh masa kedua kembali mengimbangi kedudukan sebelum Romelu Lukaku menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-78.





Segala tumpuan selepas perlawanan itu kemudian kembali menjurus kepada pengumuman pengunduran Abramovich tetapi Tuchel menyatakan bahawa adalah mustahil untuk dia mengetahui apa yang akan berlaku berikutan apa yang disifatkan oleh pemilik kelab tersebut sebagai "satu keputusan yang amat sukar".

"Mungkin saya mendengarnya sedikit lebih awal daripada anda tetapi ia juga berlaku menjelang sepak mula," kata pengurus berbangsa Jerman itu kepada BBC apabila ditanya mengenai situasi tegang yang berlaku di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

"Sudah tentu kami mendengar khabar angin mengenainya sepanjang hari, ia disiarkan di televisyen ketika kami sedang mengadakan mesyuarat pasukan dan pemain mula bercakap mengenainya, semua orang bercakap mengenainya -- ia merupakan satu berita gempar.

“Mari kita tunggu dan lihat, harapkan yang terbaik dan lihat apa yang akan terjadi.

"Setiap keputusan yang dibuat Abramovich untuk kelab ini adalah keputusan yang tepat. Ia pilihannya sendiri, ini adalah kelabnya dan bukan hak saya untuk mengulas mengenai."