Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, mengakui kemahiran serangan Casemiro telah mengejutkannya selepas pemain Brazil itu mencetak dua gol dalam kemenangan 3-1 Piala FA Inggeris ke atas Reading.

United menempah laluan ke pusingan kelima hasil kemenangan mudah di Old Trafford itu, awal pagi tadi.

Walaupun ia dianggap sebagai rutin kemenangan, United memerlukan tempoh hingga 54 minit untuk mematahkan cabaran Reading -- kejayaan itu hadir menerusi percubaan menarik Casemiro yang menyambut hantaran Antony.

Casemiro kemudian memperoleh jaringan keduanya empat minit kemudian apabila rembatan jarak jauhnya sedikit terpesong ketika menuju ke sudut kanan bawah sebelum Fred menyusuli gol ketiga.

Ia adalah siri persembahan luar biasa terbaru daripada Casemiro sejak perpindahannya bernilai £60 juta (RM315.2j) daripada Real Madrid pada Ogos lalu dan jaringan itu membawanya kepada koleksi empat gol untuk musim ini.

Selain lima bantuan gol dan sembilan penglibatan dalam bentuk jaringannya, ia adalah sumbangan keempat tetinggi dalam skuad United, malah dia juga menduduki tempat keempat untuk peluang permainan terbuka yang dicipta (28).

Ketika ditanya sama ada dia terkejut dengan impak Casemiro dalam hal ini, Ten Hag memberitahu ITV: "Ya. Kami sedar dia seorang pemain yang hebat selepas membentuk bahagian tengah ampuh di Madrid di samping Toni Kroos dan Luka Modric, ia hebat.



"Saya fikir dia mampu menjadi ancaman ketika menyerang. Kami melihat secara ofensif bahawa dia adalah sebahagian daripadanya dan dia menikmatinya apabila dia boleh menyerang.

"Apa yang saya suka tentangnya ialah dinamik bola sepaknya yang memiliki variasi dan banyak bertukar kedudukan, jadi kami perlu membuatkan lawan berfikir supaya kami boleh memanfaatkan kudratnya sepenuhnya."

Ketua pasukan United, Harry Maguire, turut memuji pemain tengah itu hasil transformasi dalam beberapa aspek.

"Dia telah bertindak seperti yang diharapkan," kata Maguire.





"Dia seorang pemain yang luar biasa, dia telah berada di puncak sepanjang kariernya. Anda tidak akan memenangi seperti apa yang pernah dijulangnya tanpa menjadi pemain terbaik.

"Dia telah meningkatkan pasukan dengan semangat serta prestasinya, dan adalah sangat bagus untuk memiliki khidmatnya."