Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel, memuji barisan pemainnya biarpun hampir disingkirkan Manjung City FC dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA semalam.

Aksi di Stadium Darul Makmur itu menyaksikan pasukan Liga M3, Manjung City FC, mengikat Sri Pahang tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan, sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Mujur Tok Gajah berhasil meneruskan kemaraan dengan kemenangan 5-4 dalam penentuan itu tetapi Gamel menganggap barisan pemainnya telah memberikan yang terbaik, lebih-lebih lagi selepas terkesan teruk dengan jangkitan COVID-19 dalam pasukan mereka sehingga terlepas dua perlawanan pertama Liga Super musim ini.

"Mereka telah membuktikan kemampuan mereka dan terus mengekalkan perancangan permainan untuk membina sesuatu sepanjang perlawanan," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Tetapi kami berdepan pasukan yang amat baik sewaktu bertahan, mereka meletakkan bas di depan gawang mereka dan menantikan peluang serangan balas.

"Bertahan sentiasa lebih mudah daripada menyerang dan kami telah mencipta 29 peluang.

"Ia bukan yang terbaik tetapi kami mempunyai semangat yang tepat.

"Dengan semangat seperti ini kami boleh memenangi banyak perlawanan.

"Anda dapat lihat betapa ramai pemain kami terkesan dengan COVID-19.

"Tetapi saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan kerana pasukan lain juga sama.

"Kami amat terkesan dengannya tetapi tiada masalah, ia sebahagian daripada sukan ini dan kami perlu meneruskannya," katanya.