Empat pasukan pilihan daripada Liga Super menepati ramalan apabila layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi pusingan kedua hari ini.

Juara edisi 2016, Johor Darul Ta'zim (JDT), tidak berdepan masalah untuk menewaskan satu lagi pasukan Liga Super, Sarawak United, 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Nazmi Faiz Mansor membuka jaringan buat JDT seawal minit keenam sebelum Fernando Forestieri meledakkan gol berganda, masing-masing pada minit ke-15 dan 43, untuk mengesahkan kemaraan Harimau Selatan.

Dalam pada itu, aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula menyaksikan Sri Pahang FC mudah menewaskan Skuad Projek FAM-MSN juga dengan keputusan 3-0.

Pemain import, Mahmoud Za'tara, menjaringkan dua gol buat Tok Gajah dalam babak pertama sebelum Shahrul Nizam Nadzir melengkapkan keputusan perlawanan pada minit terakhir.


Perlawanan di Stadium Perak, Ipoh pula menyaksikan tuan rumah tewas 1-4 kepada pasukan Liga Super, Penang FC, hasil dua jaringan Hilal El Helwe selain gol sendiri Aiman Khairul Yusni dan penyudah Adib Raop buat Harimau Kumbang.

Aksi tumpuan di Stadium Hang Jebat menyaksikan Melaka United menang tipis 2-1 ke atas Petaling Jaya City FC dengan gol yang disumbangkan Sony Norde dan Adriano.