Ketua jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt, mengakui pasukannya tidak berada dalam motivasi terbaik menjelang aksi pusingan pertama Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC di Alor Setar malam esok.

Ini selepas pasukan Harimau Kumbang itu masih belum mencatatkan kemenangan sepanjang tiga aksi pertama Liga Super musim ini.

Yee Fatt menggesa anak buahnya untuk menjadikan perlawanan kali ini sebagai detik kebangkitan mereka -- terutama selepas tewas 0-2 kepada Kelantan FC hujung minggu lalu -- meskipun menyedari tugas berat yang sedang menanti mereka di Stadium Darul Aman.

"Selepas perlawanan semalam (Ahad lalu), sudah pasti keputusan itu tidak memihak kami, jadi motivasinya agak menurun," katanya kepada Astro Arena.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kami akan berdepan Kedah, mereka memiliki sejarah yang hebat.

"Tetapi dalam bola sepak, jika anda berusaha keras, jika anda percaya dengan diri anda dan bekerjasama, tiada apa yang mustahil.

"Dengan apa yang terjadi kepada Kedah sewaktu menentang PDRM (tewas 0-1 pada Sabtu lalu), pasukan kami juga mampu melakukannya.

"Jadi, saya harap ia akan berlaku kepada kami tetapi kami perlu sedikit bersabar dan saya harap kami dapat melakukan persiapan dengan bola sepak terbaik dan memperoleh keputusan yang baik," katanya.