Erik ten Hag berbangga dengan ketabahan Manchester United selepas Red Devils dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan kemenangan 4-2 ke atas Aston Villa dalam Piala EFL awal pagi tadi.

United menuju ke penyingkiran pusingan ketiga buat kali kedua berturut-turut apabila Ollie Watkins membuka tirai jaringan di Old Trafford, dan sekali lagi apabila Diogo Dalot melakukan jaringan sendiri selepas Anthony Martial menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Marcus Rashford mengembalikan United mengikat kedudukan sebelum gol daripada Bruno Fernandes dan Scott McTominay merampas kemenangan dari Villa, membantu Red Devils mara ke pusingan keempat.

Ten Hag mengecam persembahan 'tidak boleh diterima' apabila United tewas 3-1 kepada Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad, tetapi dia teruja dengan kebangkitan semula awal pagi tadi menentang lawan yang sama.

"Dua separuh masa tidak pernah sama, ia benar. Separuh masa pertama, kami mengawal permainan dengan menekan yang baik tetapi kemudian kami melakukan perkara tidak sepatutnya berlaku," katanya.

"Pada separuh masa, kami berkata, 'kekalkan tekanan tetapi lebih tepat, melakukan serangan ke arah kubu pertahan lawana'. Kemudian kami kembali, kami bersaing.

“Saya sangat berbangga dengan pasukan yang mereka boleh melakukannya selepas kekalahan Ahad.

“Saya sangat gembira dengan semangat bersaing, itulah yang perlu kami tunjukkan setiap perlawanan, sebab itu saya sangat kecewa, sangat marah dengan persembahan pada hari Ahad.

"Kami tidak melawan, kami tidak bekerjasama, kami gagal mengikut perancangan -- terutamanya ketika pertahanan, dan pemain United sentiasa perlu menunjukkan disiplin 100 peratus."