NORWICH CITY 0 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp memuji perwatakan besar yang dipamerkan Takumi Minamino selepas penyerang Jepun itu membantu Liverpool menewaskan Norwich City dalam perlawnan Piala EFL awal pagi tadi.

Minamino menjaringkan dua gol, yang mengapit penyudah tandukan Divock Origi, untuk memberikan The Reds kemenangan 3-0 di Carrow Road.

Sebelum ini, pengaruh yang dipamerkan Minamino tidak seperti yang diharapkan sebaik tiba daripada Salzburg pada Januari tahun lalu, di mana dia menghabiskan separuh kedua musim 2020-21 dengan dipinjamkan ke Southampton.

Kini, dia sudah kembali ke Liverpool dan bersedia untuk mencuri tumpuan, dan berhasil membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila melakukan pusingan bijak sebelum meledakkan gol pembukaan perlawanan itu.

Baru-baru ini, Minamino mengalami kecederaan ringan yang boleh menjejaskan prestasinya tetapi dia kelihatan amat tajam ketika menentang The Canaries.

"Pemain memerlukan masa untuk kembali ke prestasi terbaik selepas cedera tetapi Taki benar-benar berada dalam momen yang amat baik," kata Klopp dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Dia berlatih dengan amat baik dan layak mendapatkan dua gol. Ketika menjaringkan gol pertama, dia menunjukkan kepekaan yang bagus, berfikir dengan cepat dan menyudahkan situasi itu.

"Dia amat bagus sepanjang pramusim sebelum mengalami kecederaan dan dia kini boleh bermula sepanjang baki musim ini.

"Dia cedera pada waktu yang salah. Untuk kembali, adakalanya tidak mudah tetapi dia amat jelas pemain dengan perwatakan besar dan dapat menikmati perlawanan malam ini dan ia amat penting buat dirinya dan amat penting juga buat kami, jadi kami akan membantunya untuk membantu kami," katanya.