Kapten Belanda, Virgil van Dijk, membalas kritikan pedas legenda negaranya sendiri, Marco van Basten, yang mempersoalkan kredibilitinya dalam Piala Dunia di Qatar sambil membalas: "Saya tidak fikir dia sentiasa positif."

Keputusan seri 1-1 ketika dengan Ecuador awal pagi tadi bukanlah keputusan yang diharapkan Belanda dan ini bermakna pasukan bimbingan Louis van Gaal itu terlepas peluang untuk mara ke peringkat 16 dengan berbaki satu perlawanan.

Gol lewat permainan yang menghadiahkan mereka kemenangan ke atas Senegal dalam perlawanan pertama sepatutnya menjadi bekalan buat skuad The Oranje untuk menewaskan tuan rumah, Qatar, Selasa depan bagi mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Tetapi gol pembukaan Cody Gakpo pada minit ke-6 dibatalkan oleh Enner Valencia apabila menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua hingga mencetuskan rasa tidak puas hati bekas penyerang handalan, Van Basten, terutama terhadap kapten wakil Eropah itu.

Wira Euro 88, Van Basten, memberitahu penyiar Belanda NOS: "Dia terburu-buru untuk ke depan. Kemudian timbul di fikiran saya: okay, kami sedang mendahului, kami perlu bertahan. Tetapi ia adalah sesuatu yang tidak membantu kami.

"Saya fikir Virgil harus memainkan peranan utama dalam hal itu. Dia banyak bersuara tetapi tidak berkata apa-apa.


A post shared by Virgil van Dijk (@virgilvandijk)



"Siapa pemain terbaik dalam pasukan? Itulah Virgil. Apabila anda melihat apa yang dilakukan dalam penguasaan bola, dia hanya membuat hantaran kepada rakan yang paling hampir. Dia perlu meningkatkan rentak permainan. Ia terlalu perlahan."

Bertindak balas atas kenyataan itu, bek tengah Liverpool tersebut memberitahu Voetbal International: "Saya tidak fikir dia sentiasa positif, jadi apa yang anda perlu lakukan mengenainya?

"Adalah mudah untuk membuat analisis daripada (ibu pejabat NOS di) Hilversum. Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya telah menonjolkan satu persembahan yang hebat, tidak sama sekali. Tetapi perkara yang diperkatakannya tentang kegagalan saya sebagai kapten: apa yang anda akan lakukan mengenainya?

"Saya sentiasa tampil di hadapan, saya memimpin pasukan dengan cara yang terbaik."

Van Dijk mematahkan enam percubaan lawan yang merupakan catatan tertinggi dalam pertembungan itu, kudratnya dikerah dalam usaha mengekang 15 percubaan Ecuador berbanding dua oleh Belanda, jumlah terendah pasukannya sejak edisi 1966.