Ketua jurulatih Belanda, Louis van Gaal, bergurau bahawa isterinya yang akan menentukan destinasi kariernya yang berikutnya dan dia juga tidak menolak jawatan di Belgium.

Van Gaal akan meninggalkan peranannya sebagai pengurus skuad Oranje sebaik kempen Piala Dunia di Qatar berakhir.

Amerika Syarikat (AS) akan menjadi penghalang Belanda dalam pusingan 16, malam ini, sementara Belgium selaku pasukan di ranking kedua dunia menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan F berikutan seri tanpa jaringan dengan Croatia, semalam.

Roberto Martinez mengesahkan pengundurannya selepas perlawanan itu bagi menamatkan tempoh enam tahunnya mengendalikan Belgium.

"Belgium merupakan sebuah negara yang sangat mesra termasuk penduduk yang sangat mesra dan Knokke-Hesti merupakan sebuah bandar pantai yang indah," kata Van Gaal sambil tersenyum.



"Adalah mengejutkan (Belgium tersingkir). Terdapat pemain hebat yang membarisi skuad itu apabila anda melihat mereka secara individu. Tetapi ia berkaitan aspek sepasukan.

"Saya tidak pernah terlibat dalam sesi latihan mereka, saya tidak menonton setiap perlawanan membabitkan mereka. Saya sempat melihat perlawanan terakhir -- mereka sepatutnya menang dan memang layak."

Ditanya sama ada dia akan mempertimbangkan penghijrahan ke sana, Van Gaal berseloroh: "Anda perlu meyakinkan isteri saya!



"Sebenarnya saya sentiasa bebas untuk membuat keputusan sendiri tetapi ada negara tertentu yang saya tidak akan berpindah dan isteri saya tidak akan ikut serta -- semudah itu.

“Saya di sini bersama pasukan Belanda, kami mahu menjadi juara dunia, kemudian barulah kita akan lihat sekiranya ada sebarang tawaran.

“Saya pernah berkata jika kami menjadi juara dunia, bola sepak sangat terbuka jadi saya sedar tawaran pasti hadir.

"Namun, buat masa ini kami bukan juara dunia dan jika saya mempercayai media Belanda, pasti kami tidak akan pernah menjulang kejuaraan dunia!"