Luis Suarez mendakwa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sering menganaktirikan Uruguay tatkala kariernya dalam Piala Dunia berakhir dengan air mata dan tersingkir dalam kempen di Qatar.

Bekas penyerang Barcelona, ​​Liverpool dan Atletico Madrid itu beraksi dalam kemenangan 2-0 menentang Ghana, awal pagi tadi, menerusi jaringan berganda Giorgian de Arrascaeta.

Suarez kemudian digantikan sebelum wisel penamat dan dia hanya mampu menjadi pemerhati ketika Edinson Cavani dinafikan sepakan penalti di hujung perlawanan selepas dijatuhkan dalam jarak 18 ela itu.

Suarez berasakan ia adalah tuntutan yang munasabah selain menganggap Uruguay juga sepatutnya dihadiahkan satu lagi sepakan penalti pada awal babak kedua berikutan Darwin Nunez dikasari.

Walaupun pengadil, Daniel Siebert, menilai insiden Nunez di atas padang, pembantu pegawai perlawanan memutuskan Uruguay tidak sepatutnya diberikan sepakan penalti.

Suarez menitiskan air mata sebaik Uruguay disahkan tersingkir sambil Korea Selatan mara ke pusingan 16 berikutan kemenangan 2-1 ke atas Portugal sementara satu lagi gol akan menyaksikan Uruguay memintas Korea Selatan di tempat kedua.

Dalam masa sama, Suarez merujuk kepada insiden juara kumpulan, Portugal, yang dianugerahkan sepakan penalti ketika menentang Uruguay dan mengakui adalah memeritkan disingkirkan menerusi perbezaan gol.



Justeru, Suarez menambah: "Kekasaran terhadap Darwin adalah sangat jelas. Edi juga mempunyai dikasari."

Lantas, Suarez memohon penjelasan daripada badan induk dunia itu dengan berkata: "Ini bukan satu alasan lagi tetapi perkara yang luar biasa sedang berlaku dalam Piala Dunia."

Dia juga dilarang daripada mendekati keluarganya sejurus wisel penamat ditiupkan.

“Selepas perlawanan saya mahu pergi memeluk keluarga saya dan orang dari FIFA datang melarangnya,” katanya.




“Sedangkan dalam masa sama anda terlihat seorang lelaki Perancis bersama anak-anaknya di bangku simpanan.

"Nampaknya Uruguay perlu lebih bersuara. FIFA sentiasa menganaktirikan Uruguay."