PORTUGAL 2 URUGUAY 0

Bruno Fernandes menganggap soal penjaring tidak menjadi isu di kem Portugal selepas kemenangan 2-0 ke atas Uruguay untuk memastikan Portugal menduduki pusingan 16 Piala Dunia.


Pemain tengah Manchester United itu meledak dua gol ketika pasukan kendalian Fernando Santos berkenaan mengesahkan laluan mereka ke peringkat kalah mati dengan baki satu perlawanan selepas menewaskan seteru dari Amerika Selatan tersebut di Stadium Lusail, awal pagi tadi.

Gol pembukaan Portugal pada mulanya diberikan kepada Cristiano Ronaldo yang kelihatan samar-samar ketika menyambut hantaran silang Fernandes pada minit ke-54, tetapi campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya menobatkan jaringan itu kepada pemain tengah tersebut.

Fernandes kemudian mengesahkan mata penuh buat pasukannya menerusi sepakan penalti di penghujung perlawanan dan fokus mereka kini adalah untuk menerajui Kumpulan H dengan mengelak kekalahan kepada Korea Selatan, Jumaat ini.

“Saya rasa adalah tidak penting siapa yang muncul penjaring ketika ini,” katanya ketika ditanya mengenai jaringan pertama juara Euro 2016.

"Saya menganggap Cristiano telah menyentuh bola itu. Saya melakukan hantaran bola kepadanya.




“Tetapi apa yang penting ialah kami dapat mara ke pusingan seterusnya menerusi kemenangan yang sangat penting ketika menentang lawan yang sukar.

“Keutamaan kami adalah menjuarai Kumpulan H termasuk memenangi perlawanan seterusnya, ia membolehkan kami melolosi peringkat kumpulan tanpa kalah menerusi tiga kemenangan, dan itulah yang kami idamkan.

"Kami sedar bahawa kami bakal menemui sebuah pasukan (Korea Selatan) yang sangat teratur. Objektif kami adalah untuk memikirkan perlawanan demi perlawanan -– untuk memenangi kesemua perlawanan fasa kumpulan, kami masih mempunyai satu perlawanan lagi di hadapan kami.

"Kami perlu melakukan yang terbaik kerana kami mahu memenangi semua perlawanan."