Ketua jurulatih Ghana, Otto Addo, menegaskan pasukan dengan jolokan Black Stars itu tidak memasang hajat untuk membalas dendam terhadap Uruguay apabila mereka kembali membuat perhitungan selepas insiden suku akhir Piala Dunia 2010.

Berikutan kemenangan tipis 3-2 ke atas Korea Selatan malam tadi, pasukan yang dibimbing Addo itu berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan 16 jika kemenangan ke atas La Celeste dalam perlawanan terakhir Kumpulan H, Jumaat ini.

Insiden di Afrika Selatan 12 tahun lalu menyaksikan Diego Forlan membatalkan jaringan awal Sulley Muntari, kemudian Luis Suarez menafikan kemenangan Ghana pada masa tambahan apabila menepis tandukan Dominic Adiyiah dengan tangannya di atas garisan gol.

Tetapi Asamoah Gyan gagal mengambil kesempatan tersebut apabila tendangan penaltinya meliar untuk Suarez yang dibuang padang ketika itu meraikan pengorbanannya, manakala Uruguay akhirnya mara ke separuh akhir menerusi kemenangan 4-2 dalam penentuan sepakan penalti.

Tetapi Addo menegaskan bahawa detik perit itu tidak akan menawarkan sebarang insentif tambahan buat Black Stars yang terlepas peluang untuk menjadi wakil Afrika pertama yang mara separuh akhir.

"Saya seorang yang tidak terlalu memikirkan masa lampau apabila kejadian ini berlaku," kata jurulatih itu.

"Saya seorang yang kuat beriman, jika anda tidak membalas dendam maka anda akan mendapat lebih banyak berkat.





"Ini adalah satu perlawanan yang berbeza, pasukan yang berbeza. Uruguay mempunyai penyerang yang sangat bagus, berpengalaman luas. Mereka sangat kompak, sangat bagus. Sekali lagi ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar.

"Kami merupakan sebuah pasukan yang menyedari bahawa setiap perlawanan adalah mustahak, kami perlu berada di tahap terbaik untuk menewaskan mereka.

"Tetapi saya cukup yakin untuk mengetahui kami mampu memenangi perlawanan ini."