CROATIA 1 JEPUN 1
(Croatia ke suku akhir selepas menang penentuan penalti 3-1)

Penjaga gol, Dominik Livakovic, menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk Croatia melangkah ke suku akhir Piala Dunia Qatar selepas terikat 1-1 dengan Jepun sepanjang minit 120 minit di Stadium Al Janoub sebentar tadi.

Siapa sangka penjaga gol berusia 27 tahun itu akan menjadi wira kemaraan negaranya, lebih-lebih lagi dia terlebih dahulu dibolosi jaringan Daizen Maeda pada minit ke-43.

Ivan Perisic kemudian menghidupkan peluang Vatreni apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-55.

Momentum permainan kian mengendur selepas jaringan itu untuk kedua-dua pasukan menamatkan 90 minit tanpa pemenang.

Aksi kembali rancak dalam masa tambahan, di mana kedua-dua pasukan memperoleh deretan peluang keemasan tetapi jaringan kemenangan yang dicari-cari masih tidak kunjung tiba, sekali gus perlawanan itu terpaksa dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti.

Dan di sinilah bermulanya kisah heroik yang dikarang Livakovic bermula dengan menepis sepakan pertama Jepun yang diambil Takumi Minamino sebelum melakukan perkara sama ke atas sepakan Kaoru Mitoma.

Takuma Asano kemudian menghidupkan sisa-sia perjuangan Jepun untuk menjadikan kedudukan 1-2 sambil sepakan Marko Livaja pula terkena tiang.

Bagaimanapun, Livakovic sekali lagi bertindak tangkas untuk menafikan sepakan Maya Yoshida sebelum Mario Pasalic menyepak masuk sepakan penalti terakhir yang membawa Croatia ke suku akhir.