Gareth Southgate berkata Phil Foden bakal memainkan peranan besar untuk England dalam baki kempen Piala Dunia di Qatar di sebalik penampilan terhad pemain tengah itu setakat ini.

Foden masuk pada 19 minit terakhir dalam kemenangan 6-2 England ke atas Iran ketika membuka saingan Kumpulan B selain sekadar memanaskan bangku simpanan seri tanpa jaringan dengan Amerika Syarikat (AS).

Southgate dikritik hebat kerana tidak menaruh kepercayaan kepada bintang Manchester City itu ketika The Three Lions menampilkan persembahan buruk berdepan AS.

Pengurus England itu mempertahankan tindakannya selepas perlawanan hambar tersebut tetapi Foden sudah bersedia untuk memainkan peranan yang lebih menonjol dan tidak menolak kemungkinan untuk berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan Wales, awal pagi esok.

“Kami suka Phil, dia pemain hebat,” kata Southgate kepada BBC Sport.




“Dia akan memainkan peranan besar buat kami dalam kejohanan ini.

"Mentaliti Phil ketika berlatih dan cara dia menghampiri segala-galanya adalah sangat bagus."

Foden telah mewakili City sebanyak 20 kali musim ini -– hanya Joao Cancelo (21) dan Bernardo Silva (22) bermain lebih kerap di bawah kendalian Pep Guardiola musim ini.

Dia juga telah menghasilkan lapan gol selain menjadi arkitek kepada tiga lagi gol di peringkat kelab, lantas Southgate memuji kemampuan serba boleh pemain berusia 22 tahun itu di bahagian tengah dan serangan.




"Memang ada beberapa kemungkinan. Dia mampu mengisi di kedua-dua bahagian sayap dan boleh bermain sebagai penyerang tiruan nombor sembilan seandainya kami memilih untuk menerapkannya," katanya.

“Dia boleh bermain dengan seorang penyerang, walaupun dia tidak begitu kerap melakukannya di peringkat kelab jadi ia mungkin boleh digunakan untuk perlawanan tertentu atau detik tertentu.

"Dia seorang pemain yang sangat fleksibel daripada segi sifat yang dimilikinya termasuk menghasilkan impak di posisi yang diberikan. Dia juga boleh memberi ancaman gol, ia juga sangat penting."