Pertahanan sayap berusia 19 tahun Barcelona, Alejandro Balde, dipanggil untuk menggantikan Jose Gaya dalam skuad kebangsaan Sepanyol beberapa hari sebelum Piala Dunia Qatar membuka tirai.

Pertahanan kiri Valencia, Gaya, telah 18 kali mewakili Sepanyol selepas melakukan penampilan pertamanya pada 2018 dan kelihatan akan membantu posisi yang akan diisi penolong kapten La Roja, Jordi Alba, di Qatar.

Bagaimanapun, Gaya mengalami kecederaan buku lali sewaktu latihan kelmarin dan walaupun laporan awal menunjukkan kecederaan yang dialaminya tidak serius, Luis Enrique lebih memilih untuk mengambil risiko menjelang kejohanan terbesar itu.

Balde sepatutnya sedang bersedia untuk mewakili pasukan B-21 Sepanyol bagi perlawanan persahabatan menentang Jepun hari ini tetapi dia kini berpeluang untuk melakukan penampilan pertama bersama skuad senior negaranya dalam Piala Dunia.

Dia melakukan penampilan pertama bersama skuad senior Barcelona ketika tewas kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada September lalu dan kini memainkan peranan penting buat skuad bimbingan Xavi itu musim ini.

Dengan masalah kecederaan yang sedang dialami Barca di bahagian pertahanan, Balde telah melakukan 16 penampilan buat Blaugrana musim ini dengan 13 daripadanya sebagai kesebelasan utama.

Sepanyol akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Costa Rica di Stadium Al Thumama awal pagi Khamis ini sebelum bertemu Jerman dan Jepun.