ARGENTINA 2 MEXICO 0

Lionel Messi berkata kempen Piala Dunia untuk Argentina kini benar-benar bermula selepas menjadi ilham kemenangan 2-0 ke atas Mexico, sebentar tadi, bagi mengelak penyingkiran awal.


Berikutan kekalahan mengejut 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Argentina turun berdepan Mexico sambil mengetahui kekalahan akan menyekat impian kemaraan mereka.

Anak buah Lionel Scaloni itu untuk menampilkan permainan kurang berkesan dalam tempoh sejam permainan di Stadium Lusail sebelum sentuhan penyudah Messi menemui sudut kanan bawah gawang lawan dari jarak 25 ela.




Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu kemudian mencipta umpanan buat Enzo Fernandez ketika pemain gantian tersebut menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-87 untuk menyertai kedudukan Arab Saudi dengan tiga mata.

La Albiceleste akan berhitung dengan Poland -- yang menguasai tangga teratas dengan kelebihan satu mata -- menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi menjamin tiket ke pusingan 16 menerusi kemenangan, manakala keputusan seri juga mungkin sudah memadai.

Messi gembira dapat memadam skrip duka berdepan Arab Saudi tetapi menegaskan masih banyak tugas yang perlu dilakukan oleh pasukannya jika mereka mahu mara ke peringkat kalah mati.

“Satu lagi Piala Dunia bermula untuk kami hari ini,” katanya.




“Terdapat banyak faktor di sebalik kekalahan (kepada Arab Saudi), kami beraksi bagaikan ini perlawanan pertama kami.

"Ia bukan satu alasan tetapi kami sedar kami perlu menang hari ini. Kami terpaksa beraksi dengan corak sebegini memandangkan Mexico memiliki kemampuan untuk beraksi dengan baik selain mempunyai seorang jurulatih yang hebat.

"Kami lebih tenang dalam separuh masa kedua dan menghasilkan gol yang kami perlukan. Kami tidak boleh berputus asa sekarang; kami mempunyai perlawanan akhir dari saat ini dan tidak boleh melakukan kesilapan."