Rodrygo yakin dia boleh beraksi untuk Brazil pada Piala Dunia kerana dia ingin menamatkan 'penderitaan' 20 tahun The Selecao.

Gergasi Amerika Selatan itu membuka kempen mereka awal pagi esok menentang Serbia dan merupakan antara pasukan pilihan di Qatar ketika mereka berusaha untuk menamatkan dominasi dua dekad negara-negara Eropah.

Setelah menang pada 2002, Brazil telah tersingkir di suku akhir dalam tiga daripada empat kejohanan terakhir, manakala dibelasah 7-1 oleh Jerman pada peringkat separuh akhir di laman sendiri pada 2014.

Pada usia 21 tahun, Rodrygo terlalu muda untuk mengingati kemenangan terakhir oleh pemenang lima kali itu tetapi telah mengalami kekecewaan yang sama sebagai penyokong dan meletakkan sasarannya untuk terlibat di Qatar berikutan kekalahan Brazil kepada Belgium empat tahun lalu.

"Kkami telah menderita selama 20 tahun. Saya menangis apabila kami kalah pada 2006," tulisnya untuk Player's Tribune.

"Pada 2010, saya berada di Osasco melihat orang mengecat jalan dengan warna hijau dan kuning. Tiada siapa yang bekerja. Sekolah? Lupakan sahaja. Bukannya saya ponteng sekolah. Tidak ada sekolah. Malah guru-guru telah melarikan diri.

"Pada 2014, saya menontonnya bersama ayah saya di Minas Gerais. Saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenainya. Saya tidak akan menyatakan keputusannya.


"Kekalahan kepada Belgium pada 2018, saya tidak mahu mengalami perasaan itu lagi. Selepas perlawanan saya menghantar mesej kepada ayah saya. 'Sekarang kita perlu berlatih, kerana pada perlawanan seterusnya saya akan berada di sana.'

"Saya tahu di Brazil tiada siapa yang dijamin tempat dalam skuad, kan? Tiada siapa. Saya belum pun membuat debut senior saya. Tetapi bolehkah anda salahkan saya? Saya adalah budak yang mempunyai impian sambil menyarung jersi palsu Selecao.

"Kata-kata mempunyai kuasa dan saya mahu membuktikannya. Piala Dunia ini, saya di sini dan saya melihat diri saya memastikan kemenangan untuk Brazil.

"Saya cuma berharap impian yang saya jalani ini akan berterusan sampai bila-bila. Jika saya bermimpi, saya tidak mahu bangun dari lena."

Selepas menentang Serbia, Brazil turut menentang Switzerland dan Cameroon dalam Kumpulan G.