ARAB SAUDI 0 AMERIKA 0

Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Gregg Berhalter, masih tercari-cari formula terbaik di bahagian serangan tatkala bahang tekanan terhadapnya menjelang kempen Piala Dunia Qatar makin terasa.

AS mengadakan perlawanan persahabatan terakhir dengan Arab Saudi di Murcia, Sepanyol, awal pagi tadi tetapi buntu tanpa jaringan.

Ia memburukkan lagi situasi selepas mereka tewas 0-2 kepada Jepun, hujung minggu lalu, tanpa dapat melepaskan sebarang percubaan tepat.


Ia secara tidak langsung meletakkan Berhalter dalam dilema -- turut dikritik kerana mengetepikan peranan Jordan Pefok, John Brooks dan Tim Ream -- bagi mengumumkan senarai 26 pemain Piala Dunia pada 9 November depan.

“Permainan kami berubah-ubah," katanya.

“Ini adalah masa yang mencemaskan.

"Pemain bimbang sama ada mereka tersenarai atau tidak, dan ia adalah detik yang sukar."

AS mengatur aksi pemanas badan dengan tujuh peserta Piala Dunia Qatar tetapi hanya menang sekali sepanjang pertemuan berkenaan.