PORTUGAL 3 GHANA 2

Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima kempen Piala Dunia, tetapi Portugal memerlukan beberapa gol lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan 3-2 ke atas Ghana, sebentar tadi.


Hanya dua hari selepas kontraknya di Manchester United ditamatkan atas persetujuan bersama, Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti untuk merobek gawang kental Ghana dalam aksi pembukaan Kumpulan H mereka.

Ronaldo pada awalnya dinafikan oleh Lawrence Ati-Zigi selepas sentuhan pertama yang kurang kemas dan tandukan tersasar menerusi peluang terbaik Portugal dalam babak pertama, sebelum satu jaringannya dibatalkan kerana kekasaran.

Alidu Seidu bernasib baik kerana hanya dilayangkan kuning dalam awal separuh masa kedua selepas hantukan kepalanya dengan Joao Felix, tetapi Ghana kurang bernasib baik apabila penalti diberikan kepada Portugal apabila Salisu didapati bersalah kerana mengasari Ronaldo biarpun kelihatan menyentuh bola.





Ghana jelas tidak berpuas hati atas pemberian sepakan penalti pada minit ke-65 itu dan mereka mula menyusun permainan lebih kemas untuk menyamakan kedudukan melalui Andre Ayew pada minit ke-73.

Bagaimanapun, Joao Felix meletakkan Portugal kembali di hadapan dan pemain gantian, Rafael Leao -- baru dimasukkan selama 45 saat -– menokok gol ketiga sebelum seorang lagi pemain gantian, Osman Bukari, merapatkan jurang buat Ghana apabila menyudahkan hantaran silang Baba Rahman.

Inaki Williams kemudian terlepas peluang gemilang untuk mereka berkongsi satu mata apabila merampas bola daripada kaki penjaga gol, Diogo Costa, tetapi tergelincir pada saat genting itu.


Piala Dunia Qatar: Richarlison wira dua gol Brazil atasi Serbia