Peluang Son Heung-min beraksi di Piala Dunia menjadi tanda tanya selepas Tottenham mendedahkan pemain tersebut mengalami keretakan di bahagian mata dalam kemenangan 2-1 ke atas Marseille.

Penyerang itu mengalami kecederaan selepas pertembungan di udara pada minit ke-23 dengan pertahanan Marseille, Chancel Mbemba, yang memaksa perlawanan dihentikan untuk tempoh yang panjang.

Kelihatan berdepan kesakitan dan sukar untuk berjalan, Son dibantu pihak perubatan Spurs ketika pasukannya berjaya melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara hasil jaringan Clement Lenglet dan Pierre-Emile Hojbjerg.

Spurs mengumukan semalam bahawa Son mengalami kecederaan di bahagian kiri mata dan memerlukan pembedahan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelab, Spurs berkata, “Kami boleh mengesahkan bahawa Son Heung-min akan menjalani pembedahan untuk menstabilkan keretakan di bahagian mata kirinya.

"Selepas pembedahan, Son akan memulakan pemulihan dengan kakitangan perubatan kami dan kelab akan mengemas kini penyokong dengan lebih lanjut mengenai perkembangannya dalam masa terdekat."

Pengumuman itu menimbulkan keraguan serius mengenai ketersediaan Son untuk Piala Dunia, dengan Korea Selatan bersedia untuk memulakan kejohanan menentang Uruguay dalam masa 22 hari sahaja.

Kecederaan Son juga merupakan tamparan hebat kepada Spurs, dengan rakan-rakan penyerang, Dejan Kulusevski dan Richarlison masih diketepikan ketika mereka bersiap sedia untuk menentang Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini.