Korea Selatan mengeluh mendapat layanan berat sebelah oleh pengadil perlawanan selepas ketua jurulatihnya, Paulo Bento, dibuang padang di penghujung kekalahan 2-3 mereka kepada Ghana berhubung reaksi berang selepas pasukannya yang tidak diberikan sepakan penjuru.

Ghana sedang mendahului 3-2 dalam perlawanan Piala Dunia 2022 yang mendebarkan di Stadium Education City, malam tadi, itu apabila gol kedua peribadi Mohammed Kudus dalam pertemuan tersebut menyekat momentum kebangkitan Korea Selatan.

Pasukan Taeguk Warriors yang terlebih dahulu ketinggalan 0-2 mula merapatkan jurang dengan ledakan berganda Cho Gue-sung dan terus memberi tekanan untuk mendapat sepakan sudut dalam masa kecederaan.

Tetapi pengadil, Anthony Taylor, sebaliknya meniup wisel penamat sekali gus menidakkan mereka untuk mengambil bola mati itu, secara tidak langsung mencetuskan reaksi kecewa daripada Bento yang menyaksikan anak buahnya menghuni tangga tercorot Kumpulan H dengan satu mata menuju ke perlawanan terakhir.




Kad merah itu bermakna Bento dilarang mengambil bahagian dalam sidang media selepas perlawanan, tetapi pembantunya, Sergio Costa, dengan tegas menyuarakan pendiriannya ketua jurulatihnya itu.

“Sangat tidak adil,” kata Costa mengenai situasi itu.

“Dalam separuh masa pertama mereka membiarkan situasi yang sama berlaku.

"Pengadil merampas peluang kami, Paulo bertindak balas. Dia tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang tidak sesuai terhadap pengadil, malah dia bertindak atas apa yang diketahuinya. Saya fikir ini satu keputusan yang berat sebelah.

“Saya rasa reaksi itu adalah didorong oleh salah seorang daripada sebuah kumpulan yang berasakan tidak mendapat keadilan di penghujung perlawanan.

"Bento beremosi dan mempertahankan dirinya hingga saat akhir. Kita semua dapat memahami reaksinya.

"Kadang-kadang ia mendorong reaksi yang merupakan sebahagian daripada sifat manusia. Ia normal bagi seseorang yang telah berusaha keras untuk mencapai kemenangan.




"Saya percaya kami harus berasa sedih, berasa tidak mendapat layanan yang adil tetapi tetap berbangga.

"Kami mencurahkan sepenuh jiwa kami dan ia sesuatu yang kami akan cuba ulangi."

Walaupun kehilangan Bento untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Korea Selatan -– wajib menang -– ketika berdepan Portugal, Costa sebaliknya mencadangkan situasi itu akan meningkatkan perpaduan pasukan.

"Kami akan terus membuat persediaan dengan cara yang sama seperti perlawanan lain, strategi kami tidak akan gagal," tambahnya.

"Paulo tidak akan dapat tampil pada hari perlawanan, ia merupakan satu kerugian kerana Paulo jelas merupakan pengurus yang hebat tetapi saya fikir ia akan menyatupadukan kami."