Lionel Messi memuji ketabahan Argentina yang memastikan kemenangan bergaya mengatasi Croatia selepas bermula pincang dalam Piala Dunia di Qatar berikutan kekalahan mengejut kepada Arab Saudi.

Messi merekodkan satu gol dan satu bantuan jaringan ketika Argentina mencatat kemenangan 3-0 ke atas Croatia di Stadium Lusail sebentar tadi untuk mara ke final Piala Dunia buat kali keenam -- jumlah yang hanya diungguli oleh Jerman (lapan).

Selepas membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam separuh masa pertama, Messi mengulangi magisnya dengan umpanan luar biasa untuk Julian Alvarez menewaskan Josko Gvardiol sebanyak dua kali termasuk gerakan terakhir untuk disudahkan penyerang Manchester City itu dengan mudah.

Messi kini berpeluang untuk menamatkan kerjayanya yang penuh bergemerlapan dengan menjulang hadiah terbesar dalam bola sepak itu, prospek yang kelihatan tidak mungkin ketika La Albiceleste tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan C, tiga minggu lalu.

Pemain berusia 35 tahun itu membangkitkan tentang kekalahan mengejut berkenaan dan sebentar tadi menjelaskan Argentina telah menyalurkan kekecewaan tersebut untuk menyelamatkan kejohanan mereka.





"Saya akan katakan perlawanan pertama adalah satu tamparan keras buat kami memandang sebelum itu kami belum tewas dalam 36 perlawanan.

"Untuk memulakan kempen ini seperti itu adalah satu tamparan yang keras," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami tidak sangka kami akan tewas kepada Arab Saudi. Ia adalah satu dugaan tetapi kami mempamerkan betapa kuatnya kami.

"Amat sukar atas apa yang kami lakukan kerana setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir dan ini menghadirkan beban mental. Kami sedar jika kami tidak menang maka segala-galanya akan menjadi lebih rumit.

"Kami telah mengharungi lima perlawanan akhir dan bernasib baik mampu memenanginya. Saya harap ini akan berterusan untuk perlawanan akhir.

"Secara dalaman kami yakin kami akan berjaya kerana kami tahu kemampuan kami.

"Ya, kami kecundang dalam perlawanan pertama bersandarkan butiran terperinci, tetapi ia membantu kami menjadi lebih kuat dan berkembang dalam kejohanan ini dan secara dalaman sebagai skuad."





Croatia menewaskan seteru ketat Argentina di Amerika Selatan, Brazil, dalam penentuan sepakan penalti dalam pusingan terdahulu tetapi Messi berasakan kecerdasan Albiceleste dan kesanggupan untuk menderita adalah kunci ketika menentang lawan berpengalaman.

“Saya akan katakan skuad ini adalah di luar kekuatan kolektif, sangat bijak. Kami tahu cara membaca permainan dan setiap saat,” tambahnya.

"Ia sesuatu yang jurulatih katakan sebelum ini, ini adalah sebuah skuad yang sangat bijak. Kami tahu bila untuk menderita, bila untuk memberi tekanan. Kami tahu cara membaca perlawanan, kami tahu apa yang perlu dilakukan dalam setiap saat, bagaimana untuk menang."