MAGHRIBI 0 CROATIA 0

Croatia gagal menepati ramalan apabila mempamerkan prestasi hambar sehingga terikat 0-0 dengan Magribi dalam perlawanan pertama Kumpulan F, Piala Dunia Qatar sebentar tadi.

Pasukan bimbingan Zlatko Dalic itu -- yang merupakan naib juara bagi edisi empat tahun lalu -- merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perhitungan di Stadium Al Bayt berkenaan tetapi hanya dapat menghasilkan beberapa peluang untuk mereka gagal mendaftarkan sebarang jaringan menjelang dua lagi perlawanan menentang Belgium dan Kanada.

Suasana di stadium seakan-akan memperlihatkan Croatia sebagai pasukan yang sedang bertandang ke laman lawan berikutan lautan penyokong Maghribi yang membanjiri tempat duduk penyokong, tetapi lawan mereka juga tidak dapat memanfaatkan keadaan itu dan bernasib baik apabila percubaan Nikola Vlasic tidak ke sasaran.

Dejan Lovren kemudian memperoleh satu lagi peluang berharga buat Croatia pada awal babak kedua, namun ia sekali lagi gagal dimanfaatkan walaupun mereka lebih banyak menguasai permainan.

Pada akhirnya, barisan pertahanan Maghribi jelas beraksi lebih baik dalam mengatasi ketumpulan serangan Croatia untuk meraih satu mata berharga dalam pembukaan kempen kali ini.