Maghribi mencipta kejutan apabila layak ke pusingan 16 Piala Dunia Qatar 2022 selaku juara Kumpulan F selepas menewaskan Kanada 2-1 di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Singa Atlas melonjak ke kedudukan teratas dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan.

Ketika ramai menyangkakan mereka diletakkan dalam kumpulan maut, Maghribi membuktikan sebaliknya dengan mengikat Croatia dalam perlawanan pertama sebelum menumbangkan pasukan pilihan, Belgium, 2-0, sebelum perlawanan terakhir hari ini.

Maghribi jelas pasukan yang lebih baik sejak dari awal permainan dan berhasil membuka jaringan seawal minit keempat hasil penyudah bintang Chelsea, Hakim Ziyech.

Youssef En-Nesyri kemudian bijak menghidu lambungan jauh licik rakan sepasukannya sebelum melakukan gearakan solo menarik untuk menewaskan penjaga gol Kanada, Milan Borjan, pada minit ke-23.

Ketika Maghribi kelihatan akan ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol, Nayef Aguerd pula melakukan kesilapan tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-20, sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, tiada sebarang pertambahan jaringan dalam babak kedua, menyaksikan Maghribi berhasil mengulangi pencapaian layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia, yang kali terakhir dilakukan mereka dalam edisi di Mexico pada 1986.

Dalam pada itu, pasukan di ranking kedua dunia, Belgium, perlu mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia Qatar selepas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Croatia di Stadium Ahmad bin Ali.

Dengan hanya mendaftarkan satu kemenangan daripada dua perlawanan pertama, The Red Devils sedar hanya memenangi perlawanan kali ini dapat membawa mereka ke pusingan seterusnya tetapi kebuntuan di depan gawang lawan menyaksikan impian itu musnah serta-merta.

Croatia, dalam pada itu, akan mengiringi Maghribi ke pusingan kalah mati selaku naib juara kumpulan selepas mengumpulkan lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri daripada tiga perlawanan.