Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FMRF) telah membuat aduan kepada FIFA berhubung prestasi pengadil perlawanan, Cesar Ramos, semasa kekalahan separuh akhir Piala Dunia Qatar kepada Perancis.

Maghribi tewas pada perlawanan 2-0 menerusi jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani yang membawa penyandang juara, Perancis, mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, terdapat beberapa keputusan yang dipertikaikan semasa perlawanan itu, dengan pemain Maghribi terlebih dahulu berang apabila pemain sayap Sofiane Boufal bertembung dengan Hernandez di dalam kotak Perancis.

Pengadil memilih untuk memberikan Les Bleus sepakan percuma dan bukannya penalti Maghribi sebelum memberikan layangan kad kuning kepada Boufal, mencetuskan reaksi berang daripada skuad kendalian Walid Regragui.

Pemain gantian, Selim Amallah, kemudiannya dijatuhkan dalam kotak penalti Perancis, namun Ramos sekali lagi memilih untuk tidak memberikan sepakan penalti, atau meminta semakan VAR.

FMRF berkata dalam kenyataannya, "FMRF telah menulis surat kepada badan yang berkaitan untuk mengkaji semula keputusan pengadil yang menyebabkan pasukan Maghribi kehilangan dua penalti yang tidak boleh dipertikaikan dalam pandangan beberapa pakar pengadil.

"FMRF turut terkejut kerana pembantu pengadil video (VAR) tidak bertindak balas terhadap situasi ini."


Maghribi mencipta sejarah di Qatar dengan menjadi pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Walaupun tewas, The Atlas Lions mempunyai peluang untuk menamatkan kejohanan itu dengan cemerlang dalam penentuan tempat ketiga menentang Croatia esok.

Bek kanan, Achraf Hakimi, kekal positif selepas kekalahan Perancis, mengisytiharkan di Twitter, "Kami memberikan segala-galanya. Impian sebuah pasukan, seluruh negara, sudah berakhir.

“Tetapi kami perlu berbangga dengan apa yang telah kami lakukan. Kami berjuang sehingga detik terakhir.

"Kami akan terus mencuba dan memberikan yang terbaik untuk negara ini. Terima kasih kepada semua rakyat Maghribi atas sokongan anda."