Pemain sayap Brazil, Raphinha, tidak menganggap label sebagai pasukan pilihan sebagai "tekanan" buat mereka menjelang Piala Dunia di Qatar memandangkan Selecao ingin menamatkan penantian dua dekad mereka.

Anak buah Tite akan menuju ke Qatar 2022 dalam misi merampas kejuaraan selepas kali terakhir menjulangnya dalam edisi Korea/Jepun 2002 sementara menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kempen di tanah sendiri pada 2014.

Walaupun tewas kepada Argentina dalam Copa America tahun lalu, Brazil memasuki kejohanan itu dalam kalangan pasukan pilihan dengan harapan dapat menamatkan kemarau mereka.

Lantas, Raphinha yang menjadi antara pemain harapan gergasi Amerika Selatan itu berkata diangkat sebagai pasukan pilihan tidak mengganggunya.

“Saya sudah bersedia untuk Piala Dunia dan saya bekerja keras untuk ke sini dengan sebaik mungkin, daripada segi fizikal dan mental,” katanya kepada laman sesawang Blaugrana.



"Pasukan kebangsaan mempamerkan semangat untuk menjadi juara, bercita-cita tinggi dan mahu memenangi kejuaraan. Terdapat suasana yang baik dalam kalangan seluruh pasukan.

"Saya tidak melihatnya ia sebagai tekanan, pasukan seperti Brazil sentiasa menjadi pesaing utama Piala Dunia atau mana-mana gelaran yang mereka tandingi.

"Tuntutan tinggi penyokong adalah perkara biasa kerana kami adalah pasukan berkualiti tinggi yang ditunjangi nama besar."