Harry Maguire dapat mengekalkan fokusnya bersama England dalam Piala Dunia di Qatar sedangkan di tanah airnya, pemain Manchester United itu menjadi bahan utama media.

Walaupun menempuhi kekecewaan dan drama menjelang kempen Qatar 2022 yang menyaksikan United mendominasi berita utama, iaitu membabitkan pembebasan Cristiano Ronaldo disusuli pengumuman keluarga Glazer untuk berkemungkinan menjual kelab itu.

Tetapi Maguire -- yang bakal membuat penampilan ke-50 ketika England menentang Amerika Syarikat (AS) awal pagi esok -- mengakui bahawa dia tidak terbawa-bawa dengan perkembangan terkini di Old Trafford.

"Sejujurnya, saya fikir ia sangat mudah," kata Maguire.

“Saya di sini bersama England, saya bermain dalam Piala Dunia, sebuah kejohanan terhebat di dunia, jadi bagi saya untuk menjauhi gangguan adalah mudah.

"Saya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memenangi setiap perlawanan yang saya tampil bersama negara. Terdapat banyak cakap-cakap mengenai apa yang berlaku di sekitar kelab pada masa ini tetapi fokus saya terarah sepenuhnya kepada England."

Gareth Southgate juga ditanya bagaimana dia boleh melindungi pemainnya daripada gangguan sedemikian, termasuk Maguire yang merupakan salah seorang daripada tiga tonggak United dalam skuadnya.

"Kami telah bercakap dari semasa ke semasa tentang kepentingan mengabaikan perkara luar," kata Southgate pula.


"Kami dikunjungi bakal Raja (Putera William) yang berjumpa dan bercakap dengan kami tentang hal ini. Saya fikir ia adalah satu perkara yang kami tidak mampu membalas.

"Kami perlu abaikan sahaja bunyi bising itu. Dalam kejohanan, saya rasa ia sentiasa mengundang keperluan menyebarkan maklumat, keperluan untuk cerita (sensasi).

"Saya telah melalui banyak kejohanan jadi saya memahami keperluan untuk kekal tenang dalam melalui semua ini; fokus kepada permainan, fokus kepada latihan dan aspek yang boleh anda sumbangkan. Mengekalkan tenaga anda untuk perkara sedemikian adalah kuncinya."