Ketua jurulatih Kanada, John Herdman, berkata pasukannya akan melakukan segala-galanya untuk memastikan Alphonso Davies sempat cergas untuk diturunkan dalam aksi pertama menentang Belgium dalam Piala Dunia Qatar 2022 awal pagi Khamis ini.

Davies sedang menjalani pemulihan kecederaan paha yang dialaminya ketika mewakili Bayern Munich awal bulan ini dan lewat tiba di Qatar berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai latihan pasukannya semalam tetapi masih belum jelas sama ada dia dapat terlibat dengan perlawanan Khamis ini atau tidak, di mana Kanada akan melakukan penampilan pertama mereka dalam Piala Dunia sejak 1986.

Herdman menyedari pemain berkaliber seperti Davies diperlukan untuk berdepan pasukan terbaik seperti Belgium tetapi enggan terburu-buru membuat keputusan.

"Misi saya adalah untuk memastikan dia dapat bermain dalam piala dunia kali ini, ia adalah impiannya sejak kecil," katanya dalam sidang media.

"Tetapi saya perlu katakan yang Belgium berada di tahap berbeza, kami tidak pernah berdepan pasukan di tahap itu sejak bertemu Brazil (tewas 2-3 dalam aksi persahabatan pada 2008).

"Anda memerlukan pemain seperti Alphonso tidak kira sama ada sejak awal permainan atau dari bangku pemain, jadi kami akan melakukan segala-galanya yang kami mampu.

"Dia masih berusaha untuk mendapatkan kepantasan terbaiknya. Dia masih belum dapat mencapai tahap itu dan apabila anda mengalami kecederaan hamstring, ia sentiasa akan ada momen penting. Ia adalah ketika hamstring itu digunakan pada hadnya," katanya.

Kanada akan turut berdepan Maghribi dan naib juara Piala Dunia 2018, Croatia, dalam saingan Kumpulan F, sekali gus memberikan gambaran tugas sukar buat Herdman untuk layak ke pusingan kalah mati.