Jurgen Klinsmann percaya Jerman memerlukan keajaiban untuk menyelamatkan kempen mereka dalam Piala Dunia di Qatar selepas malapetaka tersungkur kepada Jepun.

Juara empat kali itu akan berdepan Sepanyol -- yang memperagakan prestasi memukau ketika membelasah Costa Rica 7-0 -- dalam pertemuan seterusnya Ahad ini, tetapi ia merupakan prospek yang sama sekali tidak boleh terlintas di fikiran skuad Die Mannschaft.

Jerman diambang mengulangi kegagalan melepasi peringkat kumpulan temasya Russia 2018 yang menyaksikan skuad kendalian Hansi Flick itu dituntut mempamerkan persembahan yang jauh berbeza ketika menentang La Roja.

Klinsmann -- yang menjuarai Piala Dunia sebagai penyerang ketika mewakili Jerman Barat pada 1990 -- pernah melatih pasukan kebangsaan hingga ke separuh akhir 2006 bagi membuktikan kredibilitinya ketika mengemudi jaguh Eropah itu.

Sepakan penalti yang disempurnakan Ilkay Gundogan membolehkan Jerman mendahului pada minit ke-33 ketika menghukum Jepun pada awal permainan semalam, tetapi jaringan Ritsu Doan dan Takuma Asano dalam separuh masa kedua mengubah skrip perlawanan.

Justeru, bekas jurulatih yang kini berusia 58 tahun itu melontarkan amarannya kepada pasukan kebangsaan: "Jelas sekali ia amat mengecewakan kami sebagai warga Jerman.




"Persembahan pasukan secara keseluruhannya tidak cukup baik. Ia bukan seperti yang kami jangkakan selepas bencana di Russia yang menyebabkan kami pulang awal apabila terkandas di peringkat kumpulan di Russia.

"Harapan kami ialah barisan pemain mampamerkan semangat yang tepat, menunjukkan tempo yang tepat dan semua pemain mampamerkan tenaga yang tepat biarpun sedang mendahului 9-0.

"Saya tidak pernah berasakan mereka ada meletakkan permainan dalam 'gear yang lebih tinggi' seperti England. Sebaik anda menjaringkan satu gol maka anda mahukan jaringan kedua, ketiga, keempat."

Bercakap di BBC One, Klinsmann berkata: "Mereka gembira dengan rintangan pertama yang bakal dihadapi selain menyangka bahawa mereka akan memenanginya dengan mudah, kemudian Jepun menghukum mereka.

"Dan Jepun bermain sangat buruk dalam separuh masa pertama dan anda membiarkan mereka mengatur permainan. Mereka bersemangat, mereka penuh bertenaga dan mereka berhak untuk menang.

"Tetapi kini Jerman, mereka makin tersepit dan jika mereka tidak mempamerkan keajaiban untuk menewaskan Sepanyol, mereka mungkin pulang awal."