Luis Enrique melahirkan rasa dukacitanya kerana terpaksa menggugurkan Jose Gaya daripada skuad Sepanyol untuk menghadapi Piala Dunia di Qatar.

Ketua jurulatih La Roja itu menegaskan dia perlu mengambil tindakan tepat biarpun Valencia mendedahkan tahap kecederaan bek kiri itu adalah ringan.

Gaya diketepikan dalam pemilihan awal juara dunia 2010 itu minggu lalu selepas mengalami kecederaan buku lali ketika berlatih dan walaupun laporan media mencadangkan dia akan pulih segera, Luis Enrique bertindak drastik apabila menggantikannya dengan tonggak Barcelona, Alejandro Balde.

Selepas pulang ke tanah air, media Sepanyol, AS, melaporkan kelab itu mengesahkan pemain tersebut sudah pulih.

Tetapi apabila ketika bercakap kepada media hari ini menjelang perlawanan pembukaan Piala Dunia Sepanyol menentang Costa Rica, tengah malam esok, ketua jurulatih itu menegaskan kecederaan anak buahnya itu bakal mengetepikannya sekurang-kurangnya di peringkat kumpulan.

Bagi jurulatih Sepanyol itu, alasan kehilangan sebarang tonggak dalam tempoh yang lama sukar dipertimbangkan.

“Berkenaan dengan Gaya, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja,” kata Luis Enrique kepada pemberita.

“Saya perlu membuat keputusan.





"Jika saya mengikut naluri saya berdasarkan profesionalismenya, dia akan berada di sini tetapi saya tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kata hati saya. Saya perlu menggunakan akal.

"Dalam tiga perlawanan, dia tidak akan dapat beraksi 100 peratus. Saya perlu membuat keputusan terbaik buat seluruh pasukan dan seluruh negara.

"Bayangkan jika saya mendengar (rungutan) Valencia atau apa yang Gaya mahukan, itu adalah perkara biasa dan kemudian bayangkan andai Jordi Alba tercedera.

"Kami akan memulakan Piala Dunia tanpa bek kiri, kemudian bayangkan apa yang anda akan katakan terhadap saya. Anda akan bertanya pula mengapa kami sanggup membuat pertaruhan sedemikian.

"Fikiran saya berkata saya harus membuat keputusan terbaik buat pasukan, tidak syak lagi langkah terbaik ialah menyenaraikan dua pertahanan yang cergas sepenuhnya untuk Piala Dunia."

Tambahnya: "Saya benar-benar kesal dengan situasi Gaya, saya sangat menggemarinya.

"Dia seorang yang hebat dan dia berdepan nasib yang sangat malang tetapi saya perlu menggunakan akal mengenai apa yang saya harus dilakukan oleh seorang jurulatih.

"Dia bernasib malang dengan kecederaan itu, ia menimpanya ketika melakukan hantaran silang dan ia adalah sesuatu yang saya tidak pernah lihat sebelum ini.

"Tetapi saya pasti dia akan mendapat sesuatu yang positif pada masa hadapan."