Sebelumnya, Zlatan Ibrahimovic dengan berani tampil menyatakan ia sudah pun tertulis bahawa Lionel Messi akan menjulang Piala Dunia.

Firasatnya dituruti oleh Rivaldo yang melaungkan Messi paling berhak untuk memacu Argentina mengarak piala keagungan itu – simbol yang melambangkan kegemilangan pencapaian seseorang pemain.

Jika sudah ditakdirkan, tiada kuasa dalam dunia yang mampu menghalangnya.

Perlawanan akhir Piala Dunia 2022 semalam sememangnya layak digelar antara terbaik dalam sejarah, dengan kedua-dua pasukan berjuang bermati-matian demi kebanggaan negara masing-masing.

Tatkala sepakan penalti penentu disempurnakan oleh pemain bek kanan Argentina, Gonzalo Montiels, pemain utama yang ditakdirkan sebagai pemenang, pemain yang tidak syak lagi layak dinobatkan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, Messi, tidak lagi terdaya untuk berlari dan bersorak di seluruh padang.



Messi cuma melutut dan menangis, pantas dikelilingi oleh rakan sepasukan beberapa saat kemudian, air mata serta-merta berlinangan.

Satu petikan dari akhbar The Guardian menghuraikan segalanya dengan satu ayat yang cukup bermakna -- "Pada malam ini, Messi telah menyempurnakan bola sepak, meletakkan noktah pada kisah terhebat yang pernah diceritakan."

Demi satu piala yang bersinar keemasan, Messi telah berjuang sebanyak lima kali, bermula dari tahun 2006 lagi.

Semalam pula, kudratnya ditagih berkali-kali, seolah-olah tiada kesudahannya gara-gara keengganan pasukan Perancis untuk menyerah kalah, dipimpin oleh pemain terbaik mereka sendiri, Kylian Mbappe.

Ketika perlawanan cuma berbaki 10 minit dan Argentina mendahului dengan dua gol, Mbappe yang seolah-olah 'tidur' sepanjang 80 minit terdahulu tiba-tiba bangkit dan hanya memerlukan tempoh tiga minit untuk meletakkan Perancis kembali ke landasan.

Setelah Messi kembali membolehkan Argentina untuk mendahului dalam masa tambahan, Mbappe sekali lagi muncul untuk memaksa pemain pertahanan melakukan kesilapan dan sepakan penalti diperoleh.

Sepertinya ada kuasa yang tidak dapat dilihat bermain tarik tali di antara kedua-dua pasukan, di mana pemenangnya haruslah mereka yang benar-benar mendahagakan kejayaan, mereka yang sanggup mengorbankan segala-galanya.

Pengurus Perancis, Didier Deschamps, membuktikan keazamannya dengan menukar penyerang veteran, Olivier Giroud, serta pemain sayap yang bertanggungjawab atas bolosnya sepakan penalti pertama Argentina, Ousmane Dembele, dan memasukkan dua pemain muda, Marcus Thuram dan Randal Kolo-Muani demi menghidupkan semula semangat pasukan.



Tindakan ini membuahkan hasil apabila Thuram membantu Mbappe menjaringkan gol penyamaan manakala Kolo-Muani pula nyaris-nyaris menghadiahkan gol kemenangan buat Perancis pada detik-detik akhir perlawanan.

Pengurus Argentina pula, Lionel Scaloni, mengambil risiko dengan menyenaraikan Angel Di Maria, pemain yang tidak cukup cergas sepanjang pertandingan, dalam kesebelasan utama dan kepercayaan itu menghadiahkan dua gol yang cukup penting.

Namun pada akhirnya, melebihi segala percaturan taktikal mahupun semangat dan kemahuan yang ditunjukkan oleh mana-mana pemain lain, Piala Dunia di bumi Qatar ini ditakdirkan berada dalam dakapan Messi.



Tiada pemain lain dalam sejarah yang berjaya menjaringkan gol pada setiap peringkat pertandingan -- peringkat kumpulan, 16 terakhir, suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir.

Kekalahan mengejut di tangan Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan dijadikan sebagai kejutan untuk bangkit, setiap perlawanan yang menyusul menyaksikan sisipan demi sisipan kisah evolusi seorang pemain yang bermula dari bintang muda penuh harapan menjadi juara dunia.

Sepanjang perjalanan, penyerang berbisa dari Poland, Robert Lewandowski dijinakkan, pemain tengah yang tidak lapuk dek usia, Luka Modric, diketepikan.

Di peringkat akhir sekali, Mbappe yang teramat handal juga terpaksa akur akan kekalahan.

Tamatlah sudah perjuangan Messi, tercapai akhirnya impiannya dan Argentina.

Meskipun sarat dengan kontroversi sebelum sepak mula lagi, sukar untuk ditidakkan bahawa Piala Dunia kali ini merupakan antara yang terbaik dalam sejarah.

Buat Messi pula, sememangnya dia berhak, apatah lagi jika segala-galanya sudah