Bastian Schweinsteiger mengkritik pertahanan Jerman selepas kekalahan mengejut 2-1 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Qatar menentang Jepun semalam.

Bekas pemain antarabangsa Jerman dan pemenang Piala Dunia 2014 itu memilih Niklas Sule, yang digunakan bek kanan oleh ketua jurulatih Hansi Flick dan bukannya kedudukan biasa sebagai bek tengah.

Jerman mendahului menerusi sepakan penalti Ilkay Gundogan pada separuh masa pertama, sebelum gol daripada Ritsu Doan dan Takuma Asano secara dramatik mengubah suasana perlawana pada babak kedua.



Bercakap kepada ARD, Schweinsteiger berkata, "Kami melakukan kesilapan besar sekali lagi daripada segi bertahan, dan selagi kami melakukannya kami akan kalah dalam perlawanan, ia semudah itu!"

Bekas pemain tengah Bayern Munich dan Manchester United itu kemudian menjelaskan secara terperinci mengenai gol penyamaan Doan, menilai secara terperinci peranan Sule dan pemain gantian Leon Goretzka.


“Mari kita perhatikan peranan Niklas Sule dan Leon Goretzka,” katanya.

"Niklas Sule adalah seorang pemain pertahanan. Dan jika seseorang menyerang anda secara satu lawan satu, anda perlu mengawalnya, menutup lorong dalam dan biarkan mereka melakukan hantaran ke belakang.

"Sule memberi [Kaoru Mitoma] peluang untuk merencana gerakan dan memainkan hantaran. Goretzka gagal membaca situasi untuk mengeluarkan bola daripada kotak penalti.

"Saya tidak menyukai situasi itu. Ini tidak bagus. Ini sangat-sangat buruk. Sudah tentu, bola itu sampai tepat ke arah Doan.

"Itu tidak cukup bagus untuk pemain pertahanan seperti Sule. Ia adalah kesilapan pertahanan yang klasik dan serius."