Perjalanan epik Maghribi sehingga mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 menarik rasa kagum legenda bola sepak antarabangsa.

Legenda bola sepak Jerman, Karl-Heinz Rummenigge, menyertai senarai tokoh yang turut mengagumi prestasi Maghribi dalam kejohanan berprestij itu.

Rummenigge yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di Bayern Munich menyeru pasukan kebangsaan Jerman untuk belajar dan mengambil manfaat daripada kisah inspirasi Maghribi di Qatar.

Bekas penyerang itu menekankan kepentingan untuk menunjukkan 'lebih semangat' apabila beraksi di Kejohanan Eropah 2024 dan merampas semula status Jerman selaku antara pasukan terbaik dan paling dihormati di dunia.

Rummenigge berkata, lembaga penasihat yang ditubuhkan persekutuan bola sepak negara itu berikutan penyingkiran awal pasukan kebangsaan di Qatar perlu mencari solusi terbaik.

Beliau yang merupakan sebahagian daripada ahli lembaga penasihat tersebut bersama beberapa legenda bola sepak Jerman seperti Olivier Kahn, Rudi Voller dan Matthias Sammer.

"Kami perlu menetapkan agenda dan kemudian melihat apa yang diharapkan daripada pasukan," katanya.

Pencapaian menakjubkan Maghribi di Piala Dunia menerima pujian meluas dan mencetuskan inspirasi.

Pasukan kebangsaan Maghribi mencipta sejarah di Qatar apabila muncul negara Afrika dan Arab pertama yang layak ke separuh akhir.

Walaupun Maghribi tewas pada aksi separuh akhir kepada Perancis, penyokong dan pemerhati melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian Atlas Lions.

Menerusi mesej yang menyentuh hati kepada peminat, bintang bola sepak Maghribi, Achraf Hakimi berkata bahawa skuad negaranya sudah memberikan segala-galanya.

"Impian sebuah pasukan, seluruh negara sudah berakhir, tetapi kami harus berbangga dengan apa yang telah dilakukan.

"Kami akan terus mencuba dan memberikan yang terbaik untuk negara ini. Terima kasih kepada semua warga Maghribi atas sokongan kepada kami. Kami sayang anda," katanya.