Kai Havertz merumuskan penyingkiran awal Jerman dalam Piala Dunia di Qatar ibarat sebuah filem seram di sebalik mencipta kemenangan ke atas Costa Rica.

Dua gol sumbangan penyerang Chelsea itu dalam kemenangan 4-2 Kumpulan E, awal pagi tadi, sudah tidak bermakna lagi untuk mereka mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati berikutan kemenangan Jepun 2-1 ke atas Sepanyol mengesahkan kemaraan kedua-dua seteru berkenaan.

Ia menandakan satu lagi pengembaraan buruk buat Jerman yang gagal mengekalkan rekod tanpa dibolosi dalam rentetan 12 perlawanan kejohanan utama.

Havertz -- yang dimasukkan sebagai pemain gantian mencetuskan kebangkitan-- mengakui berasa perit dan kekecewaan melihat pasukannya gagal walaupun sudah berhempas-pulas dalam perlawanan terakhir.

"Ia pahit untuk kami telan," katanya.



"Ketika rehat, kami berpesan kepada diri sendiri bahawa kami tidak boleh mengambil mudah, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kami tidak menjangkakan perkara seperti ini berlaku. Ia seperti filem seram.

“Kami melihat keputusan semasa di stadium, kami sedar dengan situasi penonton dan reaksi di bangku simpanan.

"Harapan kami masih bernyala kerana kami mengandaikan Sepanyol akan menjaringkan satu lagi gol. Kemudian kami melihat ke skrin bahawa perlawanan mereka telah berakhir dan itu sahaja."

Penyingkiran di Qatar bermakna buat kali kedua berturut-turut Jerman terkandas di peringkat kumpulan sementara perjuangan mereka dalam Euro 2020 berakhir dalam pusingan 16 untuk tiga kejohanan berturut-turut mereka menempuh episod buruk.




Berbaki 18 bulan untuk bertindak sebagai tuan rumah Euro 2024, Havertz memahami tugas berat untuk menghidupkan semula semangat pasukannya yang perlu mencari semula jiwa bola sepak mereka.

“Jika tiga kejohanan berturut-turut anda keluar awal, ia membuatkan anda tertanya-tanya apa yang berlaku,” tambahnya.

“Kami perlu mengubah sesuatu. Kami sedar perkara itu.

"Mengenangkannya, kami tidak menonjol. Kami perlu jujur ​​kepada diri sendiri. Sejak lima tahun lalu, perancangan tidak berjalan lancar dan ia silap kami sendiri. Kami harus yang harus dipersalahkan."