Tonggak Amerika Syarikat (AS), Giovanni Reyna, kecewa dengan laporan berterusan yang mengaitkan tingkah laku buruknya sepanjang kempen Piala Dunia di Qatar.

AS disingkirkan Belanda dalam pusingan 16 sementara pemain tengah Borussia Dortmund itu hanya beraksi 51 minit sepanjang kejohanan berkenaan apabila timbul laporan yang mengatakan minit permainannya terhad berikutan dia kurang fokus berlatih.

Pemain berusia 20 tahun itu juga dilihat melemparkan pelapik tulang keringnya ke tepi padang selepas tidak terpilih untuk diturunkan oleh jurulatih, Gregg Berhalter, dalam perlawanan pembukaan ketika AS seri 1-1 dengan Wales.

Reyna kemudian menggunakan media sosial untuk menyeru pasukan itu agar bersatu memandangkan Piala Dunia 2026 sebahagiannya akan dilangsungkan di tanah sendiri.

"Saya berharap tidak perlu mengulas mengenai perkara yang berlaku dalam Piala Dunia," kata Reyna dalam satu catatan di Instagram.

"Saya percaya perkara yang berlaku dalam suasana pasukan harus kekal peribadi.

“Apa yang diperkatakan, artikel yang telah diterbitkan mencerminkan profesionalisme dan watak saya, jadi saya rasa perlu membuat kenyataan ringkas.

"Sejurus sebelum Piala Dunia, Berhalter memberitahu bahawa peranan saya dalam kejohanan itu akan menjadi sangat terhad. Saya sangat kecewa.












“Saya meletakkan harap tinggi dan begitu mahu menyumbang kepada kumpulan berbakat ini bagi mencuri perhatian dalam Piala Dunia.

"Saya juga seorang yang sangat emosional dan saya mengakui sepenuhnya bahawa saya telah membiarkan emosi mengawal saya hingga menjejaskan latihan dan tingkah laku saya selama beberapa hari sebaik mengetahui akan memainkan peranan terhad .

"Saya memohon maaf kepada rakan sepasukan serta jurulatih saya atas perkara ini dan saya diberitahu saya telah dimaafkan. Selepas itu, saya mengetepikan segala kekecewaan dan memberikan segala yang saya ada baik di dalam mahupun di luar padang.

"Saya kecewa kerana terdapat liputan berterusan mengenai perkara ini (serta beberapa versi acara yang sangat fiksyen) dan saya pastinya terkejut andai ada sesiapa yang di dalam pasukan ini membocorkan maklumat.

"Jurulatih Berhalter sentiasa berkata bahawa isu yang timbul dengan pasukan akan kekal di bilik persalinan supaya kami dapat memberi tumpuan kepada perpaduan dan kemajuan pasukan. Saya sayangkan pasukan saya, saya gemar mewakili negara dan fokus saya sekarang hanya untuk memperbaiki prestasi dan berkembang sebagai pemain bola sepak dan seseorang.

"Saya berharap agar setiap orang yang terlibat dalam bola sepak AS mencurahkan tumpuan masing-masing hanya untuk kepentingan terbaik pasukan supaya kami boleh menikmati kejayaan besar dalam Piala Dunia 2026."