Situasi kem Brazil bertambah pincang apabila mengesahkan Gabriel Jesus dan Alex Telles tidak sempat pulih daripada kecederaan lutut bagi baki kempen Piala Dunia 2022.

Pasangan itu masing-masing terpaksa dikeluarkan dalam kekalahan kepada Cameroon, kelmarin, secara tidak langsung Brazil bertambah pincang berikutan ketiadaan Danilo dan Alex Sandro yang masih diulit kecederaan.

Laporan di Brazil mengatakan Jesus perlu berehat sebulan sementara Telles mungkin memerlukan pembedahan, sekali gus turut memberi tamparan hebat kepada Arsenal dan Sevilla.

Satu kenyataan daripada Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) kemudian mengesahkan bahawa khidmat kedua-dua pemain itu terpaksa dilupakan untuk baki kempen di Qatar.

“Seperti yang diumumkan oleh CBF selepas perlawanan menentang Cameroon, Alex Telles dan Gabriel Jesus perlu menjalani ujian imbasan,” menurut kenyataan itu.

“Sambil diiringi doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar, mereka melakukan MRI di lutut kanan bagi mengesahkan tahap kecederaan dan adalah mustahil untuk pulih tepat pada masanya.




"Penyelaras pasukan kebangsaan Brazil, Juninho Paulista, sedang berhubung dengan pengarah sukan Arsenal dan Sevilla untuk menentukan sama ada Alex Telles dan Gabriel Jesus kekal bersama skuad kebangsaan di Doha untuk meneruskan rawatan atau mereka perlu kembali ke kelab masing-masing."

Walaupun Jesus hanya menjadi sandaran kedua di belakang Richarlison, Telles sebaliknya mungkin sandaran utama.

Kini tinggal Alex Sandro satu-satunya bek kiri semula jadi dalam skuad itu tetapi dia belum pasti pulih tepat pada masanya untuk perlawanan 16 menentang Korea Selata, awal pagi Selasa ini, sementara pertahanan kanan serba boleh, Danilo, kembali menjalani latihan penuh awal pagi tadi.