JERMAN 4 COSTA RICA 2

Hansi Flick menuntut rombakan kaedah latihan bola sepak di Jerman dengan menggariskan keperluan melahirkan lebih ramai pemain seperti Jamal Musiala.


Jerman menewaskan Costa Rica 4-2 dalam kempen Piala Dunia di Qatar awal pagi tadi, tetapi kemenangan di Stadium Al Bayt itu tidak cukup untuk mereka menembusi Kumpulan E berikutan kemenangan mengejut Jepun ke atas Sepanyol.

Persembahan rancak dalam separuh masa kedua menyaksikan Jerman yang mendahului menerusi jaringan awal Serge Gnabry kemudian mendapati mereka pula yang ketinggalan, tetapi gol berganda daripada Kai Havertz dan Niclas Fullkrug melengkapkan kemenangan mereka.

Namun, Jerman mengakhiri saingan kumpulan di tempat ketiga untuk pulang awal dalam dua edisi berturut-turut temasya itu di sebalik melepasi ranjau pusingan pertama dalam 16 penampilan terdahulu.




Menjelang penganjuran Euro 2024, Flick menuntut perubahan drastik mengenai kaedah latihan peringkat asas bola sepak di negara itu.

"Kami memiliki pemain yang mewakili kelab-kelab terkemuka, kami mempunyai kualiti," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya percaya bahawa demi masa depan bola sepak Jerman, kami perlu melakukan perkara yang berbeza dalam latihan.





"Selama bertahun-tahun kami bercakap tentang penjaga gol mahupun pertahanan sayap baharu, tetapi apa yang sentiasa bagus tentang bola sepak Jerman ialah kami masih mampu bertahan dengan baik.

"Kami perlu meletakkan asasnya. Biarpun Sepanyol tewas menentang Jepun, mereka sangat bagus daripada segi pertahanan dan mereka fokus membentuk pemain muda dengan pendekatan taktik sebegitu.

"Untuk masa depan mahupun 10 tahun akan datang, ia pendekatan yang penting."