England boleh dianggap sebagai pilihan utama dalam Piala Dunia 2022, menurut bekas ketua jurulatih The Three Lions, Sven-Goran Eriksson.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu mara ke separuh akhir dalam temasya Russia 2018 untuk menyamai usaha terbaik England dalam Piala Dunia sejak mereka menang di tanah sendiri pada 1966.

England kemudian membuat penampilan final kejohanan utama pertama mereka sejak 1966 apabila berentap dengan Itali dalam Euro 2020 tahun lalu sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

Eriksson pernah mengendalikan England dalam Piala Dunia 2002 dan 2006, masing-masing mara ke suku akhir setiap kejohanan sementara turut lolos ke peringkat lapan terakhir Euro 2004.

Disingkirkan Brazil pada 2002 disusuli Portugal dalam dua kejohanan berikut, sekali gus menyaksikan Eriksson gagal membimbing generasi emas England untuk menggapai kejayaan.

Tetapi pengurus berbangsa Sweden itu percaya anak buah Southgate berhak untuk diangkat sebagai antara pasukan pilihan bagi menikmati kegemilangan di Qatar, hujung tahun ini.

Eriksson memberitahu Stats Perform: "Saya fikir mereka adalah salah satu pasukan pilihan dan mungkin mereka adalah pilihan utama.




"Saya tidak pasti keampuhan Brazil dan Argentina pada masa ini tetapi di Eropah, Itali tidak layak. Saya rasa Sepanyol pula tidak cukup bagus untuk memenanginya. Jerman, sukar diduga dan Belgium sentiasa merupakan sebuah pasukan yang bagus."

Eriksson juga percaya England sepatutnya melolosi Kumpulan B dengan mudah selepas diundi bersama Iran, Amerika Syarikat dan sama ada Ukraine, Scotland atau Wales.

"Maksud saya, memang dalam Piala Dunia sentiasa sukar tetapi saya tidak nampak mengapa mereka tidak mampu memenangi peringkat kumpulan," tambahnya.

"Ia mustahil. Mereka akan melepasinya dengan mudah. ‚Äč‚ÄčKemudian selalunya ia bergantung kepada siapa yang akan anda temui di peringkat seterusnya, kemudian jika anda menang di sana anda akan ke suku akhir.

"Jadi, perlukan sedikit nasib di sana selain tiada kecederaan ke atas pemain utama dan sebagainya.

"England mampu melakukannya."