Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, membidas penganjur Piala Dunia dan rakan sejawatannya di kem Kanada, John Herdman, apabila menyatakan pasukan Eropah itu wajar dihormati.

Finalis Piala Dunia 2018 itu membuka kempen Qatar 2022 mereka dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Maghribi dalam Kumpulan F yang bermula pada pukul 1 petang waktu tempatan, Rabu lalu.

Bercakap menjelang perlawanan seterusnya pasukannya, Dalic mengecam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila mencadangkan pasukannya sepatutnya diberikan jadual slot lewat hari yang lebih sejuk dan lebih baik mengenangkan mereka sebagai penyandang naib juara.

"Hakikat bahawa kami beraksi dalam perlawanan pertama pada pukul 1 tengah hari mengganggu rentak kami," katanya.

“Saya menyifatkan kekurangan tenaga kami dalam perlawanan pertama itu disebabkan sepak mula awal.

"Hakikatnya Croatia beraksi pada pukul 1 tengah hari adalah tidak menghormati kami. England, Sepanyol, Perancis dan Brazil tidak bermain pada masa itu. Kami adalah naib juara dalam Piala Dunia terakhir. Ini bukan tindakan yang tepat yang Croatia sepatutnya hadapi."

Dalic sebelum ini mempamerkan nada yang lebih neutral berbanding komen Herdman yang mengatakan Kanada harus membenam Croatia berikutan kekalahan tipis kepada Belgium di sebalik memiliki kesempatan untuk mengatasi mereka.





Bagaimanapun, nada Dalic mula bertukar apabila Kanada sering mengulangi kepentingan kemenangan ke atas lawan mereka itu: "Croatia patut dihormati semua pasukan. Kami telah meraih kejayaan menerusi corak permainan dan keputusan.

"Saya tidak akan memberi perhatian kepada sebarang komen. Kami akan bersedia untuk beraksi dengan bermaruah ketika menentang Kanada termasuk pasukan lain. Tetapi kami patut dihormati."

Sementara itu, Herdman, menikmati peluang menentang Croatia, sambil menambah: "Ia adalah satu ujian yang hebat buat pasukan ini. Kami teruja. Kami bakal berdepan satu perlawanan yang hebat."